Khamis, 14 March 2019 | 7:52pm

OKU pendengaran menang peraduan Jom Selawat BH

KUALA LUMPUR: Peserta orang kelainan upaya (OKU) pendengaran, Muhammad Hawari Hashim, 29, dinobatkan sebagai pemenang tempat pertama peraduan Jom Selawat yang diadakan sempena kempen #JomCintaNabi.

Kemenangan itu membolehkannya membawa pulang hadiah pakej percutian dan penginapan lima hari empat malam di Rasvehi Hotel & Spa Maldives bernilai RM8,000 serta rawatan urutan yang keseluruhan bernilai RM19,500.

Sementara itu, Muhammad Hawari berkata, kemenangan itu adalah rezeki buat anaknya, Hana Sakeena yang baru dilahirkan.

“Memang saya banyak menyertai peraduan yang dianjurkan pelbagai pihak tetapi tidak pernah memenangi sebarang hadiah. Ini adalah kemenangan terbesar yang saya peroleh.

“Malah menyertai peraduan ini juga saya tidak mengharapkan kemenangan tetapi saya bersyukur kerana dipilih juri untuk memenanginya.

“Saya berharap ia dapat membuka mata orang ramai terhadap golongan seperti saya,” katanya ketika dihubungi BH di sini, hari ini.

Tempat kedua dimenangi Masjid An-Nur, Saujana Utama, Sungai Buloh yang menampilkan drama pendek bertemakan `Kami Rindu Rasulullah’.

Imam Dua Masjid An-Nur, Mohd Radzi Mohd Zin, bersyukur kerana niat awal sekumpulan jemaah dikenali sebagai ‘Geng Subuh’ untuk menghadiahkan kemenangan kepada masjid kariah mereka tercapai.


Wakil pemenang tempat kedua peraduan Jom Selawat dari Masjid An-Nur, Saujana Utama, Sungai Buloh. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

“Hasrat kami ketika menyertai peraduan ini semata-mata menyumbang untuk masjid. Kebetulan ada jemaah masjid kami yang menguruskan teknologi komunikasi maklumat (ICT), jadi ia memudahkan untuk bergerak lebih proaktif termasuk menyertai peraduan bermanfaat sebegini.

“Rakaman hanya menggunakan telefon pintar dan tempoh penggambaran tidak sampai dua jam, mungkin jika masa diperuntukkan lebih panjang video dihasilkan lebih baik,” katanya yang ditemani Imam Satu Masjid Annur, Mohd Isyamfuan Rojalai.

Kemenangan itu membolehkan mereka membawa pulang hadiah bernilai RM10,000 termasuk pakej percutian dan penginapan empat hari tiga malam di Dhigurah Retreat Beach, Maldives untuk dua orang bernilai RM6,000, kursus permulaan bahasa Mandarin (RM3,000) dan wang tunai (RM1,000).

Persembahan kompang selawat oleh pelajar daripada Kelab Kompang Sekolah Menengah Sains Alam Shah, Cheras berjaya meraih tempat ketiga dalam peraduan sama.


Pemenang tempat ketiga peraduan Jom Selawat dari Sekolah Menengah Sains Alam Shah, Cheras. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

Guru merangkap jurulatih pasukannya, Rohani Mustafa, berkata kemenangan itu di luar jangkaan kerana mereka cuma berlatih selama dua hari untuk menyiapkan video bagi menyertai peraduan ini.

“Saya melatih seramai 20 pelajar Tingkatan Dua dan Tiga khusus bagi menjayakan peraduan ini meskipun persiapan agak singkat kerana bertembung dengan cuti persekolahan akhir tahun.

“Cuma satu jam rakaman video ini dilakukan dan ternyata komitmen pelajar berbaloi kerana akhirnya dinobatkan antara pemenang utama,” katanya.

Ia melayakkan mereka menerima hadiah rawatan urutan Meridian Wellness untuk dua orang bernilai RM 6,000, kursus asas permulaan bahasa Mandarin (RM 1,500) dan wang tunai (RM 500).

Hadiah disampaikan oleh Pengarang Eksekutif Komersial & Ehwal Semasa BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman pada Majlis Penyampaian Hadiah Peraduan Jom Berselawat sempena Kempen #JomCintaNabi di The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) di sini, hari ini.


Pengarang Eksekutif Komersial & Ehwal Semasa BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman (tiga dari kiri) bersama wakil pemenang tempat pertama, Nur Adibah Somasundaran (empat dari kanan) pada Majlis Penyampaian Hadiah Peraduan Jom Berselawat sempena Kempen #JomCintaNabi di Balai Berita Bangsar, hari ini. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Paimuzi Yahya dan Penolong Pengarah Kanan Unit Perhubungan Awam dan Penerbitan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Saiful Azhar Saadon.

Wakil rakan strategik kempen #Jom Cinta Nabi

Turut hadir wakil rakan strategik, iaitu Ketua Pegawai Eksekutif, Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP); Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan, BIMB Holdings Berhad, Wan Norkhairi Wan Samad; Ketua Pematuhan Syariah, Bank Rakyat, Mohd Zamerey Abdul Razak; Timbalan Ketua Eksekutif, Dasar dan Operasi, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Mastura Khalid dan Pengurus Pemasaran dan Jualan Travelyoyo Sdn Bhd, Anis Abd Sabhee.

Pemenang sagu hati

1. Mohamad Firdaus Mohd Shahir

2. Eda Fazilah Ismail

3. Ahmad Sharif Haron

4. Nor Farhatul Fairuzah Panut

5. Aisyah Hishamudin

6. Noor Faezah Jamil

7. Kompang Seri Gempita

8. Arrumi

9. Badariah, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (P) Almashoor

10. Baca Alaa

*Pemenang sagu hati masing-masing menerima wang tunai dan hadiah keseluruhan bernilai RM1,600.

342 dibaca
Wakil pemenang tempat pertama, Nur Adibah Somasundaran (tengah) bersama wakil pemenang tempat kedua, Mohammad Radzi Mohd Zain (dua dari kanan) dari Masjid An-Nur, Saujana Utama, dan Rohani Mustafa dari SM Sains Alam Shah yang meraih tempat ketiga. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman
Berita Harian X