Jumaat, 15 March 2019 | 6:37pm
TIMBALAN Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin. - NSTP/Hafiz Sohaimi

Nafi ternakan ikan dalam sangkar mati kerana pencemaran

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menafikan laporan yang mendakwa banyak ternakan ikan dalam sangkar mati akibat pencemaran toksik dari Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan berlakunya pencemaran ke atas produk pertanian atau penternakan di sekitar kawasan yang tercemar itu.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan dakwaan kononnya banyak ternakan ikan sangkar mati kerana pencemaran toksik yang tular di media sosial itu sebagai palsu dan tidak bertanggungjawab.

“Kerajaan sangat serius menangani isu di Sungai Kim Kim dan banyak agensi termasuk di bawah kementerian ini, di sana.

“Jangan laporkan sesuatu yang tidak benar, termasuk dakwaan kerajaan lambat bertindak. Semua itu akan menjatuhkan moral petugas yang bertungkus lumus di sana,” katanya selepas merasmikan Program BioUsahawan 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Ditanya adakah produk berasaskan pertanian dan penternakan di kawasan itu selamat dimakan atau tidak, Tze Tzin berkata, pihaknya sedang mengumpul maklumat dan memantau perkembangan semasa.

“Kita akan buat ujian makmal untuk pastikan produk yang tercemar tidak memasuki pasaran.

“Jika tak selamat, kita hapuskan terus produk berkenaan,” katanya sambil mengakui, pihaknya hanya akan menjalankan pemeriksaan ke atas produk apabila kawasan berkenaan disahkan selamat.

Mengulas mengenai BioUsahawan, Tze Tzin menjelaskan, penerapan teknologi berasaskan bio ke dalam bidang pertanian mampu membawa kualiti yang boleh ditambah nilai kepada produk tempatan.

“Produk pertanian Malaysia dan berasaskan bio adalah berkualiti tinggi, moden, memenuhi keperluan keselamatan dan setaraf dengan piawaian antarabangsa.

“Kita mahu memastikan produk tempatan berada di pasaran dunia,” katanya.

Program BioUsahawan 2019 kali menyaksikan pelancaran produk milik enam syarikat berstatus BioNexus, serta pelancaran model Program Pembangunan Komuniti Bioeconomi (BCDP) 2.0.

Dalam perkembangan lain, katanya, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menambah 100 lagi pam air mudah alih, untuk kegunaan pesawah di Kelantan dan Terengganu yang berdepan masalah kemarau.

Berita Harian X