Jumaat, 15 March 2019 | 7:04pm
TIMBALAN Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming. - Foto Muhaizan Yahya

Kor Ming kutuk tragedi tembakan di New Zealand

IPOH: Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming, mengecam dan mengutuk perbuatan keganasan dilakukan di dua masjid di New Zealand yang mengorbankan puluhan orang Islam dan puluhan yang lain lagi cedera.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan, berkata perbuatan itu jelas tidak berperi kemanusiaan dan tindakan undang-undang wajib dikenakan terhadap pihak yang melakukan keganasan itu.

“Saya mengutuk dengan sekeras-kerasnya tindakan keganasan menembak di Masjid Linwood di Christchurch, tindakan undang-undang wajib diambil dan semua perlu bertenang serta bersatu untuk membela keharmonian agama.

“Saya juga mengecam perbuatan keganasan di Masjid Al-Noor, New Zealand yang tidak berperi kemanusiaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Pada jam 1.40 tengah hari waktu tempatan hari ini, kejadian tembakan dilaporkan berlaku di Masjid Al-Noor berhampiran Hagley Park dan Masjid Linwood di Christchurch, yang mengorbankan 40 orang nyawa dan lebih 20 orang cedera.

Kor Ming yang juga Pengerusi DAP Perak, berkata segala bentuk keganasan, politik perkauman serta kefahaman ekstrim mana-mana kepercayaan agama wajib dilarang oleh undang-undang dan pihak berkuasa.

Beliau berharap semua pihak di negara ini bertenang serta bersatu bagi memastikan keharmonian agama yang sedia terjalin di negara ini terus terpelihara dan dibela.

1288 dibaca
Berita Harian X