Jumaat, 15 March 2019 | 10:54pm

Fasa peralihan monsun bermula Selasa ini

KUALA LUMPUR: Malaysia dijangka memasuki fasa peralihan monsun mulai Selasa ini, yang lazimnya akan berlaku ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan hari ini, berkata keadaan cuaca itu juga berpotensi menyebabkan banjir kilat serta kerosakan struktur yang tidak kukuh.

“Semasa fasa peralihan monsun, keadaan cuaca itu biasanya berlaku pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan negeri di pantai barat dan pedalaman Semenanjung, pantai barat Sabah serta kawasan barat dan tengah Sarawak,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, fasa peralihan monsun itu dijangka berterusan hingga pertengahan Mei.

“Permulaan fasa peralihan monsun itu menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut yang bermula sejak 27 Oktober lalu.

“Dalam tempoh ini, kawasan serantau negara menerima tiupan angin dari pelbagai hala dengan kelajuan yang lemah iaitu sesuai untuk pembentukan awan ribut petir,” kata kenyataan itu.

Orang ramai dinasihatkan lebih berwaspada ketika tempoh fasa peralihan monsun serta sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh jabatan itu menerusi laman web, aplikasi myCuaca dan media sosial. – BERNAMA

Berita Harian X