Sabtu, 16 March 2019 | 11:39am
TUN Dr Mahathir berucap pada majlis Pelancaran Program Ikon Remaja Wilayah Persekutuan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Dr Mahathir nafi dakwaan setuju MB Perak diganti

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan dakwaan bahawa EXCO Perak mendapat persetujuan beliau untuk menggantikan kedudukan Menteri Besar negeri itu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Perdana Menteri sebaliknya berkata, beliau berpuas hati dengan prestasi Ahmad Faizal dan menyifatkan kontroversi melanda Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Perak itu sebagai sesuatu biasa dialami pemimpin.

“Tidak benar (memberi persetujuan menggantikan Ahmad Faizal). Kontroversi tercetus kerana ada orang yang mahu mengambil alih kedudukannya.

“Orang selalu mendapati setiap orang itu kontroversi, malah bagi saya juga, ada orang yang mahu menggantikan tempat saya. Itu biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Ikon Remaja Wilayah Persekutuan, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad, mendakwa EXCO Perak yang bertemu dengan enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) bagi menjatuhkan Ahmad Faizal, berjumpa dengan lebih ramai wakil rakyat BN untuk tujuan itu.

EXCO berkenaan turut dikatakan mendapat persetujuan daripada Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH).

Sementara itu, ditanya sama ada beliau berpuas hati dengan prestasi Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian yang juga sering dilanda kontroversi, Dr Mahathir berkata, Osman ada pandangannya sendiri, termasuk dalam isu pencemaran toksik di Pasir Gudang.

“Beliau ada pandangan sendiri tetapi pada akhirnya, kita mempunyai pandangan yang sama bahawa tidak ada keperluan untuk mengisytiharkan darurat atau untuk panik kerana kita tahu kita melakukan semua perkara yang betul dan mengendalikan situasi dengan baik,” katanya.

Mengenai kritikan terhadap Osman selepas beliau ke Batam, Indonesia, semalam, bagi mempromosikan Tahun Melawat Johor 2020 ketika Pasir Gudang masih berdepan krisis, Perdana Menteri berkata, beliau tidak tahu mengenainya.

Selain itu, ditanya mengenai keputusan mengekalkan jawatan Datuk Seri Ronald Kiandee sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang didakwa melanggar manifesto PH, Dr Mahathir berkata, keputusan itu menepati manifesto.

“Beliau (Ronald) daripada parti lawan (sebelum ini). Kita pilih parti lawan. Itu bermakna kita patuh kepada manifesto dan janji kita.

“Kalau beliau pilih nak masuk parti kerajaan, apa kita boleh buat. Bukan beliau dipilih daripada kerajaan tetapi dipilih daripada parti lawan,” katanya.

Berita Harian X