Sabtu, 16 March 2019 | 1:57pm
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, memandang serius insiden pembuangan sisa toksik di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor. - Foto BERNAMA
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, memandang serius insiden pembuangan sisa toksik di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor. - Foto BERNAMA

Agong pandang serius insiden buang sisa toksik

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, memandang serius insiden pembuangan sisa toksik di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor.

Datuk Pengelola Bijaya DiRaja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata baginda juga menzahirkan rasa dukacita dan simpati terhadap mangsa yang dimasukkan ke hospital akibat kes pencemaran toksik berkenaan.

Selain itu, beliau berkata, baginda mendoakan supaya semua mangsa terbabit kembali pulih seperti sediakala secepat mungkin.

“Baginda juga berdoa dan berharap supaya 480 mangsa dilaporkan menjalani rawatan saringan awal di Medic Base, Stadium Tertutup Pasir Gudang, berupaya menjalani pemeriksaan dengan baik.

“Baginda juga memohon seluruh rakyat Malaysia berdoa supaya keadaan pencemaran sisa toksik di Pasir Gudang tidak akan mengakibatkan keadaan yang lebih memudaratkan demi kesejahteraan penduduk setempat,” katanya memaklumkan titah baginda dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Fadil berkata, baginda turut menzahirkan ucapan terima kasih dan menyokong tindakan segera yang diambil kerajaan negeri serta agensi berkaitan, terutama Kementerian Kesihatan, Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, serta Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Sebelum ini, media melaporkan jumlah pesakit mendapat rawatan akibat pencemaran sisa kimia berbahaya di Sungai Kim Kim, menurun kepada 371 orang berbanding 491 mangsa, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor, Dr Sahruddin Jamal, dipetik sebagai berkata jumlah terkini itu menunjukkan penurunan bilangan pesakit yang masih mendapat rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Hospital Sultan Ismail (HSI) dan Hospital Permai.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X