Sabtu, 16 March 2019 | 4:41pm
MENTERI Pendidikan, Dr Maszlee Malik. - NSTP/Saddam Yusoff
MENTERI Pendidikan, Dr Maszlee Malik. - NSTP/Saddam Yusoff

303 pelajar Malaysia di Christchurch diminta berwaspada

JENJAROM: Kementerian Pendidikan sudah mengeluarkan arahan kepada semua 303 pelajar Malaysia di Christchurch, New Zealand untuk terus berwaspada susulan insiden tembakan di dua masjid di bandar itu.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, ketika ini semua pelajar berada dalam keadaan selamat, namun mereka perlu mengambil langkah keselamatan tambahan.

“Semua pelajar kita di sana (Christchurch) selamat. Rakyat Malaysia yang cedera bukan dalam kalangan pelajar kita.

“Apa pun kita mengutuk perbuatan keganasan seperti ini. Saya yakin rakyat New Zealand pun tidak bersetuju dengan apa yang berlaku di negara mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Terbuka Bahagian Pendidikan Swasta di Universiti MAHSA di sini, hari ini.

Pada jam 1.40 tengah hari (waktu tempatan), seorang lelaki bertindak ganas dengan melepaskan tembakan rambang di Masjid Al-Noor berhampiran Hagley Park dan Masjid Linwood di Christchurch, yang mengorbankan 49 nyawa dan lebih 40 orang cedera.

Rakyat Australia, Brenton Tarrant, 28 dituduh membunuh 49 orang di mahkamah hari ini.

Dia ditahan bersama dua suspek lain dan beberapa bahan letupan turut digunakan dalam apa yang disifatkan sebagai serangan terancang pengganas.

Tiga rakyat Malaysia yang cedera dalam kejadian itu ialah Rahimi Ahmad, 39, dari Pulau Pinang dan mempunyai dua anak; Mohd Nazril Hisham Omar, 46, dari Kelantan serta dan Mohd Tarmizi Shuib, 46, dari Kedah yang masing-masing mempunyai empat anak.

Berita Harian X