Ahad, 17 March 2019 | 6:04pm
PENGERUSI Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan negeri, Datuk Dr Ismail Salleh pada sidang media di Wisma Darul Aman, Alor Setar, hari ini. - Foto Noorazura Abdul Rahman

Pusat tahfiz amal peralat kanak-kanak diarah tutup

ALOR SETAR: Kerajaan negeri mengarahkan sebuah pusat tahfiz amal di Sungai Petani ditutup kerana beroperasi tanpa kebenaran, selain dipercayai mempergunakan kanak-kanak untuk mengutip derma dengan menggunakan nama agama bagi menarik simpati orang ramai.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan negeri, Datuk Dr Ismail Salleh, berkata notis penutupan dikeluarkan pada 11 Mac lalu oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JAIK).

Katanya, tindakan penyitaan akan dilakukan esok mengikut Seksyen 16A dan Seksyen 21 Akta Pusat Jagaan 1993 (Pindaan) 2007.

“Mengenai nasib 120 pelajar di pusat itu, JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) akan mengambil 11 pelajar yang terdiri daripada anak yatim, manakala 109 lagi yang semuanya berusia bawah 12 tahun diserahkan semula kepada ibu-bapa masing-masing.

“Kami mohon orang ramai jangan terpedaya dengan aktiviti pusat rawatan amal ini yang dilihat mempergunakan kanak-kanak untuk meraih simpati orang ramai,” katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Semalam, tersebar dalam aplikasi WhatsApp satu video berdurasi tiga minit 37 saat, antara lain memaparkan tulisan ‘211 anak yatim fakir miskin diarah kosongkan penempatan’, selain merakamkan keadaan kanak-kanak perempuan menangis apabila mereka diarah berpindah keluar.

Ismail berkata, siasatan mendapati pihak pusat rawatan amal itu juga dikesan melanggar Seksyen 69 (4) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Kedah 2008 kerana mengutip derma tanpa kebenaran.

“Hasil siasatan kita juga mendapati pihak pengurusan pusat rawatan amal itu menggunakan kanak-kanak untuk kutip derma tanpa kebenaran JAIK,” katanya.

Beliau berkata, taktik licik pengusaha pusat tahfiz amal terbabit sering bertukar premis dengan mendaftar nama baharu selepas tindakan diambil, menyukarkan kerajaan negeri untuk membanteras kegiatan mengeksploitasi pelajar meminta derma sambil menjual produk tertentu.

Katanya, pusat tahfiz itu dikesan mengeksploitasi kira-kira 120 pelajarnya termasuk 11 anak yatim dengan mengarahkan mereka meminta derma sambil menjual produk.

“Pusat tahfiz ini mula beroperasi pada 2005 di atas tapak Sekolah Menengah Agama (SMA) Al-Falah, namun tidak berdaftar sebelum kita mengambil tindakan arah tutup... bagaimanapun mereka menghantar surat pada 3 Februari 2008 memohon penangguhan penutupan pusat itu.

“Dari masa ke semasa, pusat itu masih beroperasi dan didapati menukar nama serta menjalankan kegiatan jualan seperti biasa.

“Pada 28 Januari 2014, JAIK mengeluarkan surat untuk mengarahkan pusat itu menghentikan operasi dan aktiviti jualan oleh pelajar, namun mereka dikesan berpindah ke lokasi baharu,” katanya.

Ismail berkata, pusat itu kini dikesan berpindah ke lokasi terbaru di Pekan Baru, Sungai Petani, dengan menjalankan aktiviti sama tanpa berdaftar dengan JAIK dan JKM.

“Kerajaan negeri memandang serius tindakan eksploitasi kanak-kanak dan meminta masyarakat tidak terpedaya dengan elemen simpati dimainkan pengusaha pusat tahfiz terbabit bagi mengaut keuntungan,” katanya.

3748 dibaca
Berita Harian X