Selasa, 19 March 2019 | 5:41pm

Bekalan elektrik di Seri Kembangan, Equine Park pulih

KUALA LUMPUR: Bekalan elektrik di sekitar Seri Kembangan dan Equine Park yang mengalami gangguan berikutan kerosakan Pencawang Masuk Utama (PMU) Serdang Raya sejak semalam, pulih sepenuhnya.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam satu kenyataan, berkata kerosakan itu berjaya dipulihkan pada jam 2.22 petang tadi.

Pengurus Besar Kanan, Distribution Network, TNB, Wan Nazmy Wan Mahmood, berkata pihaknya mengucapkan terima kasih atas kesabaran pengguna yang terkesan akibat gangguan bekalan elektrik berikutan kerosakan di PMU Serdang Raya .

“Petugas kami bertungkus lumus memulihkan bekalan elektrik dengan selamat, secepat mungkin demi keselesaan pengguna. Kami memohon maaf atas kesulitan yang timbul.

“Kami juga menghargai kesabaran pengguna di sekitar Seri Kembangan dan Equine Park yang terbabit dengan gangguan bekalan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Nazmy berkata bekalan dipulihkan secara berperingkat seawal jam 5 petang semalam dengan 67 peratus pengguna mendapat bekalan daripada Grid Nasional.

Beliau berkata, baki pengguna yang lain pula mendapat bekalan elektrik menggunakan set janakuasa bergerak, keseluruhannya berjumlah 170 unit.

“Kerosakan PMU Serdang Raya dikenal pasti daripada peralatan panel pembahagian 33kV. Kerja pembaikan kerosakan di PMU itu dijangka siap esok,” katanya lagi.

Wan Nazmy turut memaklumkan bahawa pengguna yang mendapat bekalan menerusi set janakuasa bergerak akan mengalami gangguan sementara elektrik antara 15 sehingga 30 minit apabila bekalan ke premis mereka dihubungkan semula ke Grid Nasional.

Untuk maklumat lanjut, pengguna yang terbabit dinasihatkan untuk menghubungi Pegawai Khidmat Pelanggan TNB di talian TNB CareLine 15454 atau melalui Facebook TNB CareLine.

Dalam kenyataan terdahulu, TNB memohon maaf kepada pengguna yang terkesan dengan gangguan bekalan elektrik di sekitar Seri Kembangan dan Equine Park.

Wan Nazmy dilaporkan berkata pihak petugas bertungkus lumus memulihkan bekalan elektrik secepat mungkin, sebaik kerosakan pada jam 3.56 petang berlaku.

Berita Harian X