Rabu, 20 March 2019 | 1:17pm
Sukarelawan menyusun makanan untuk digunakan pelajar di UM Campus Food Bank, Kompleks Perdana Siswa, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Kerajaan bantu mahasiswa jika duit mencukupi - PM

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan kesediaan kerajaan membantu mahasiswa yang terpaksa mengikat perut di universiti.

Perdana Menteri berkata, ia termasuk menyediakan makanan lengkap kepada golongan itu jika mempunyai peruntukan kewangan mencukupi.

Bagaimanapun, katanya, hasrat berkenaan dilihat tergendala buat masa ini kerana wang negara dicuri.

“Ya, kalau kita ada duit banyak, kita boleh beri ‘full meal’ (makanan pagi, tengah hari dan malam) kepada semua orang (mahasiswa) tetapi duit kita dicuri dan orang yang curi itu sekarang menjadi ‘bos’ mereka, ‘bos’ kepada orang tertentu.

“Payah nak urus (bantu mahasiswa) sebab duit dicuri dan dok (ada) di mana saya tidak tahu. Bawalah balik (duit) untuk diberi kepada penuntut,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini

Ahad lalu, BH menyiarkan laporan eksklusif mendedahkan sebilangan pelajar Universiti Malaya (UM) mengikat perut dengan hanya makan sekali sehari, kerap berpuasa dan bergantung kepada sebuku roti untuk dua hari akibat kekangan kewangan.


Ahad lalu, BH menyiarkan laporan eksklusif mendedahkan sebilangan pelajar Universiti Malaya mengikat perut.

Selain itu, pelajar di UM turut terpaksa duduk bersesak dalam rumah sewa sehingga sembilan orang untuk menjimatkan perbelanjaan.

Susulan pendedahan BH itu, Kementerian Pendidikan akan merangka dan menambah baik program bantuan terkini termasuk bekerjasama dengan universiti.

Malah, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga memutuskan untuk memperluaskan program Foodbank Malaysia kepada golongan mahasiswa susulan laporan itu.

Berita Harian X