Rabu, 20 March 2019 | 3:11pm
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng selepas menjawab soalan pada sidang Dewan Rakyat, Parlimen. - Foto Mohd Yusni Ariffin
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng selepas menjawab soalan pada sidang Dewan Rakyat, Parlimen. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Akaun UMNO beku kerana 1MDB - Guan Eng

KUALA LUMPUR: Akaun UMNO masih dibekukan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) kerana mempunyai kaitan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata arahan pembekuan dikekalkan kerana penyiasatan berhubung kaitan kes skandal itu dengan parti terbabit giat dijalankan pihak berkuasa.

“Apa dilakukan kerajaan sekarang untuk memastikan kita boleh menggantung atau menarik balik pembekuan akaun itu, tetapi untuk UMNO, ini berkaitan kes masih berjalan iaitu skandal 1MDB.

“Jika tidak terbabit dengan skandal itu, boleh semak. Perkara ini tidak boleh dipertikaikan lagi. Satu dunia tahu ini skandal rasuah.

“Hanya Umno yang tak tahu, jadi saya harap YB (Yang Berhormat) boleh sedar mengenai skandal terbesar dunia ini sehingga Malaysia digelar negara kleptokrasi,” katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) berhubung alasan langkah pembekuan akaun UMNO yang berlarutan sehingga menjejaskan urusan pembayaran gaji pekerja parti.

Ahmad yang juga ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, membangkitkan duluan keputusan Mahkamah Rayuan dengan menetapkan agensi penguatkuasaan undang-undang hanya boleh membekukan akaun suspek mengikut siasatan AMLATFTPUAA selama 90 hari.

Mahkamah dilapor memutuskan, pendakwaan harus dibuat dalam tempoh setahun walaupun kerajaan boleh memohon harta suspek disita melalui Jabatan Peguam Negara (AGC).

Panel tiga hakim diketuai Datuk Umi Kalthum Abdul Majid juga menetapkan tempoh sitaan setahun berjalan dari tarikh perintah pembekuan dikeluarkan dalam hal perintah pembekuan sebelum ini.

Berita Harian X