Rabu, 20 March 2019 | 9:10pm
Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum berucap pada majlis pelancaran buku 'Our Constitution' di Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya. - Foto Asyraf Hamzah

Hakim perlu pertahankan Perlembagaan

KUALA LUMPUR: Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum, mengingatkan hakim di negara ini supaya terus mempertahankan prinsip Perlembagaan Persekutuan.

Malanjum berkata, cabaran paling besar dihadapi hakim adalah untuk sentiasa mengingati bahawa asas perlembagaan ialah prinsip perundangan bukannya tunduk kepada undang-undang.

“Agak menyedihkan kerana kadang-kala ada rakan yang berkata ‘itulah undang-undangnya, ikut sajalah’ tanpa menyedari bahawa undang-undang itu bertentangan dengan semangat prinsip perundangan.

“Itu yang perlu diingatkan apabila kita melihat kepada perlembagaan, saya rasa dengan cara itu baru kita dapat memastikan demokrasi sentiasa hidup di negara ini,”, katanya.

Malanjum berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran ‘Buku Our Constitution’ tulisan pakar undang-undang perlembagaan, Profesor Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi di Auditorium Tun Mohamed Suffian, Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya, di sini, `hari ini.

Yang turut hadir, Hakim Besar Sabah Dan Sarawak Datuk Seri David Wong Dak Wah; Naib Canselor Universiti Malaya, Datuk Ir Dr Abdul Rahim Hashim; Dekan Fakulti Undang-Undang UM, Profesor Datuk Dr Johan Shamsuddin Sabaruddin dan hakim kanan Mahkamah Rayuan serta Mahkamah Persekutuan.

Sementara itu Malanjum berkata, cadangan penubuhan Mahkamah Khas Rasuah bagi Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan dapat mempercepatkan rayuan membabitkan kes rasuah di seluruh negara.

Ditanya mengenai empat hakim kanan yang bakal bersara pada tahun ini, Malanjum berkata ia tidak akan menjejaskan Badan Kehakiman kerana ia mempunyai 150 hakim di mahkamah atasan seluruh negara.

435 dibaca
Berita Harian X