Khamis, 21 March 2019 | 12:38pm

MAS teruskan jualan MATTA

KUALA LUMPUR: Orang ramai yang terlepas peluang ke Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan (MATTA Fair) minggu lalu, masih boleh mendapatkan tambang pada harga istimewa daripada Malaysia Airlines (MAS) sehingga hari ini.

Ketua Pegawai Hasil Kumpulan, Ignatius Ong berkata, pihaknya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang menyokong MAS.

“Kami memenangi beberapa anugerah sejak beberapa bulan lepas dan ini membuktikan kesetiaan anda terhadap kami.

“Sehubungan itu, kami menyambung tawaran istimewa sempena pameran MATTA bagi memberi peluang kepada anda menikmati tambang pada harga rendah.

“Tambang ini termasuk elaun bagasi sebanyak 30 kilogram untuk kelas ekonomi ke destinasi luar negara dan 20 kg bagi domestik termasuk makanan dan huburan percuma dalam pesawat,” katanya.

Pelanggan berpeluang menikmati tambang pergi balik ke Kota Kinabalu untuk kelas ekonomi serendah RM479, Kuching dari RM339, Pulau Pinang dan Langkawi serendah RM239.

Tambang pergi-balik kelas ekonomi untuk semua laluan antarabangsa serendah RM2,899 ke London, ke Bangkok bermula pada RM559, Jakarta bermula RM529, Manila (RM789), Tokyo (RM1,549) dan Seoul (RM1,469).

Turut ditawarkan tiket pergi balik kelas ekonomi ke Sydney serendah RM1,779, Shanghai (RM1,229), Kochi (RM619), Delhi (RM999) dan Bali (649).

Tambang pada kadar istimewa ini adalah untuk perlepasan dari Kuala Lumpur dan untuk penerbangan sehingga 15 Januari 2020.

Selain tambang pada kadar istimewa, pelanggan juga mendapat pelbagai faedah menarik seperti tawaran potongan sebanyak 20 peratus untuk MHInsure, pilihan tempat duduk, bagasi tambahan (prepaid), akses ke Golden Lounge di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan pelbagai lagi.

Untuk mengetahui tawaran istimewa lain dan menempah tiket sila layari www.malaysiaairlines.com.

Berita Harian X