Khamis, 21 March 2019 | 6:15pm
MENTERI Sains dan Teknologi, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau. - Foto Hafiz Sohaimi
MENTERI Sains dan Teknologi, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau. - Foto Hafiz Sohaimi

'Pinda juga Perkara 160 Perlembagaan'

KUALA LUMPUR: Pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan dianggap tidak mencukupi jika kerajaan komited ingin mengembalikan kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu dengan Semenanjung seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (UPKO-Tuaran) berkata, Perkara 160 juga wajar dipinda bagi memastikan kedudukan Sabah sebagai rakan sekutu dapat dikembalikan.

“Apabila kerajaan bercadang melakukan pindaan pada Perkara 1(2), saya amat mengalu-alukan cadangan ini dan hendaklah dibuat secara menyeluruh serta mempunyai asas kukuh.

“Namun, jangan terlupa untuk meminda Perkara 160 yang memuatkan definisi Persekutuan kerana masih dinyatakan ‘Persekutuan’ itu adalah ‘Persekutuan Tanah Melayu’.

“Kita sudah menjadi Malaysia selama 56 tahun, ini bererti MA63 tidak diambil kira sepenuhnya ketika penggubalan Perlembagaan ini,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Liew Vui Keong, mengumumkan kerajaan bersetuju membuat pindaan dalam Perkara 1(2) Perlembagaan bagi menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu dengan Semenanjung.

Katanya, perkara itu akan dibentangkan oleh Jawatankuasa Teknikal dan Kerja MA63 mengenai hak sama rata Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung dalam sidang Dewan Rakyat kali ini.

Mengenai cadangan pindaan Perkara 1(2), Madius mencadangkan rang undang-undang (RUU) pindaan itu wajar dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk penelitian lanjut.

Katanya, ia berikutan pindaan bukan sekadar untuk mengembalikan semula hak Sabah, sebaliknya memperkukuhkan Malaysia.

“Bagaimana kita akan dapat memperkukuhkan Persekutuan Malaysia jika kita terus mengabaikan peruntukan yang terkandung perjanjian MA63 dan tidak dilaksanakan sepenuhnya.

“MA63 adalah perjanjian yang mendapat pengiktirafan antarabangsa dan didaftarkan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), maka apa juga kandungannya mesti dilaksanakan sepenuhnya.

“Ini yang sebaik mungkin perlu dilakukan untuk kepentingan rakyat secara keseluruhan kerana kita mahu memperkukuhkan Malaysia, bukan setakat Sabah,” katanya.

Berita Harian X