Jumaat, 22 March 2019 | 4:31pm
TIMBALAN Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Madya Dr Md Amin Md Taff.

UPSI proaktif bantu mahasiswa miskin, kurang mampu

TANJUNG MALIM: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bukan saja menyediakan makanan, malah bersikap proaktif menyediakan bantuan kewangan, pakaian dan peralatan diperlukan kepada pelajar miskin serta kurang berkemampuan.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Madya Dr Md Amin Md Taff, berkata usaha itu dilakukan bagi memastikan tidak berlaku masalah pelajar terpaksa `ikat perut’ sehingga menjejaskan tumpuan pembelajaran, seperti yang dilaporkan BH beberapa hari lalu.

“UPSI sejak sekian lama memberi tumpuan terhadap aspek kebajikan pelajar, malah pelbagai kategori bantuan kebajikan pelajar dilaksanakan seperti bantuan makanan dengan memberi kupon makanan RM5 yang disediakan di Pusat Pelajar dengan kuota 50 kupon sehari dan kupon makanan RM5 di Pusat Islam dengan kuota 100 kupon sehari.

“Selain itu, kami menyediakan peti ais yang dikenali sebagai Freezer Kebajikan di Kompleks Bitarasiswa, yang mana makanan dan minuman percuma diletakkan dalam peti ais itu.

“Pada masa sama, Jabatan Hal Ehwal Pelajar UPSI menyelaraskan program makanan percuma anjuran kolej kediaman dan semua 10 fakulti serta program sedekah makanan secara berkala,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

BH pada 17 Mac lalu lalu, mendedahkan sebilangan pelajar UM terpaksa mencatu wang saku diberi keluarga, berjimat cermat, mengikat perut dengan hanya makan sekali sehari, kerap berpuasa dan bergantung pada sebuku roti untuk dua hari akibat kesempitan kewangan.

Pendedahan itu mendapat perhatian Kabinet yang mahu bantuan segera dihulur kepada mahasiswa memerlukan di semua universiti awam (UA) dengan kerajaan turut meluluskan peruntukan RM3 juta kepada program Food Bank Malaysia untuk diperluaskan ke kampus UA.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pula diberi tanggungjawab mengendalikan program mengedar bekalan makanan kepada golongan sasaran.

Md Amin berkata, UPSI juga menyediakan bantuan pakaian dan peralatan menerusi penubuhan Kedai Preloved Shoppe iaitu kedai sukarelawan yang diusahakan pelajar UPSI, bagi menyediakan pelbagai barangan yang masih elok dan berkualiti untuk pelajar yang memerlukan.

Katanya, bagi membantu mahasiswa menjana pendapatan sampingan, pihaknya menyediakan bantuan keusahawanan menerusi program Skim Pinjaman Start Up Perniagaan (U-START) untuk anak golongan asnaf serta Foodcart Asnaf iaitu dua gerai bergerak makanan tajaan syarikat Celcom untuk digunakan anak golongan berkenaan di UPSI untuk berniaga.

Beliau berkata, UPSI juga menyediakan kuota khas untuk anak asnaf berniaga di Bazaar Ramadan UPSI, program Studentpreneuer Island iaitu menyediakan kawasan perniagaan untuk pelajar yang memerlukan serta Kiosk Keusahawanan.

Md Amin berkata, UPSI juga membantu mahasiswa menerusi penawaran Skim Siswazah Bekerja yang memberi peluang kepada anak asnaf bekerja sambilan dengan mana-mana premis perniagaan yang ada di UPSI untuk menjana pendapatan mereka, kutipan khas untuk pelajar sakit kronik seperti kanser serta bantuan khas kebajikan oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

“Sebelum ini, Fakulti Teknikal dan Vokasional (FTV) UPSI turut menyediakan makanan tengah hari percuma kepada semua pelajar semester satu program Ekonomi Rumah Tangga dan Sains Pertanian.

“Tidak dinafikan terdapat mahasiswa yang datang daripada keluarga bermasalah kewangan dan bantuan kewangan disediakan menerusi program seperti Bantuan Tabung Kebajikan Pelajar, Derma Pelajar di Timpa Musibah, Pinjaman Wang Segera Kepada Pelajar, bantuan zakat serta sedekah.

“Kami sentiasa memahami masalah yang dihadapi mahasiswa dan seluruh kakitangan termasuk kolej kediaman serta timbalan-timbalan dekan hal ehwal pelajar dan alumni akan melaporkan dengan pantas masalah yang dihadapi warga UPSI,” katanya.

Berita Harian X