Ahad, 24 March 2019 | 9:55pm
Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob (kiri) dan Pengerusi SPR, Azhar Harun. - Foto NSTP

Kenyataan Pengerusi SPR satu penghinaan - Ahmad

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menyifatkan kenyataan Pengerusi SPR, Azhar Harun melabelkan rakyat Kelantan sebagai ‘kaki kelab malam’ adalah penghinaan kepada rakyat negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, berkata berdasarkan kenyataan Azhar yang tular di media sosial dan akhbar tempatan, jelas menggolongkan seolah-olah majoriti rakyat Kelantan yang berada di luar tidak tahu tentang dosa dan pahala.

“Rakyat Kelantan di luar sana ada di kalangan penjawat awam, pegawai tinggi kerajaan dan tokoh korporat yang banyak menyumbang untuk masyarakat dan negara.

“Ucapan berkenaan dianggap keterlaluan dan boleh mencetuskan perasaan benci serta prasangka negatif rakyat negeri lain terhadap rakyat Kelantan sehingga boleh mencetuskan sentimen kenegerian,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut katanya, sebagai seorang Pengerusi SPR sewajarnya lebih berhati-hati mengeluarkan sebarang kenyataan dan seharusnya lebih mengetahui tentang fakta sejarah Kelantan yang sinonim dengan panggilan negeri Serambi Makkah.

“Panggilan Serambi Makkah menggambarkan dekatnya mereka dengan kehidupan beragama.

“Beliau (Azhar ) juga perlu faham bahawa sesiapa sahaja berhak memilih pentadbiran Islam sebagai asas pemerintahan negeri.

“Hal itu adalah suatu perkara yang baik dan tidak sepatutnya dijadikan isu. Sekiranya ada beberapa orang yang berbuat maksiat, adalah salah mengaitkan dengan seluruh rakyat Kelantan,” katanya.

Azhar sebelum ini dilaporkan sebuah portal berkata, cadangan pendaftaran pengundi secara automatik pada pilihan raya akan datang sukar dibuat kerana Perlembagaan Persekutuan membenarkan seseorang mengundi di tempat mula-mula dia mendaftar sebagai pengundi walaupun mungkin tinggal di tempat lain.

Azhar berkata, disebabkan perkara itu, seramai 60,000 orang Kelantan balik ke negeri ini untuk mengundi menyokong hudud sedangkan pada masa-masa lain mereka berada di Kuala Lumpur dan pergi ke kelab malam.

4362 dibaca
Berita Harian X