Ahad, 24 March 2019 | 11:34pm
SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

SKMM nasihat pengguna Facebook, Instagram tukar kata laluan

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menasihatkan pengguna Facebook dan Instagram supaya menukar kata laluan masing-masing jika menerima makluman yang kata laluan mereka terdapat dalam format yang boleh dibaca oleh kakitangan dalaman Facebook.

Suruhanjaya itu dalam kenyataan hari ini berkata, pemeriksaan keselamatan rutin yang dijalankan Facebook pada Januari lepas mendapati wujudnya permasalahan itu.

“Menurut Facebook, bagaimanapun, kata laluan itu tidak boleh diakses oleh mana-mana pihak luar dan sehingga kini tidak ada bukti yang menunjukkan kata laluan itu telah disalahgunakan oleh kakitangan Facebook.

“Dalam hal ini, Facebook turut memaklumkan bahawa permasalahan ini telah diperbetulkan dan para pengguna yang terbabit akan dimaklumkan dengan sewajarnya berhubung perkara ini,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu sebarang proses penukaran kata laluan perlu dibuat secara terus di aplikasi atau laman rasmi Facebook dan Instagram untuk mengelakkan pihak yang cuba mengambil kesempatan terhadap isu itu dengan memperdaya orang ramai melalui kaedah penipuan, penyamaran dan “Phishing”.

SKMM yang turut memantau perkembangan lanjut berhubung isu itu akan berhubung rapat dengan pihak FB untuk sebarang isu yang berbangkit. – BERNAMA

1406 dibaca
Berita Harian X