Isnin, 25 March 2019 | 12:21am
LUKISAN abstrak bertajuk ‘Mimpi’ dibida pada harga mahal RM250,000 pada Lelongan Seni Malaysia & Asia Tenggara anjuran Henry Butcher Art Auctioneers (HBAA) di Galeri Prima, Bangsar. - Foto Aswadi Alias.

'Mimpi', hasil karya Syed Ahmad terima bidaan tertinggi hampir RM250,000

KUALA LUMPUR: Lukisan abstrak bertajuk ‘Mimpi’, hasil tangan Allahyarham Datuk Syed Ahmad Syed Jamal, menerima bida tertinggi pada Lelongan Seni Malaysia & Asia Tenggara anjuran Henry Butcher Art Auctioneers (HBAA) di Galeri Prima, Bangsar.

Mimpi, yang dilukis oleh Syed Ahmad ketika beliau berusia 77 tahun pada 2007, menerima bidaan RM246,400 pada lelongan pertama dalam siri tiga sesi pelelongan yang dijadualkan bagi tahun ini.

Arwah sebelum ini pernah memaklumkan, inspirasi untuk menghasilkan seni abstrak itu datang dalam mimpinya, sekali gus mendorongnya memilih tajuk itu. Syed Ahmad meninggal dunia pada 30 Julai 2011.

Sesi pelelongan selama empat jam bermula jam 1 tengah hari tadi itu menampilkan 200 hasil seni pelukis tersohor negara, antara lain Allahyarham Khalil Ibrahim (1934 – 2008), Datuk Ibrahim Hussein, Datuk Tajuddin Ismail, Datuk Sharifah Fatimah Syed Zubir, Dzulkifli Buyong dan Syed Ahmad.

Selain hasil karya pelukis terunggul tempatan, lukisan pelukis ternama dari negara jiran seperti Singapura, Indonesia dan beberapa lagi turut dilelong.

Pengarah HBAA, Polenn Sim, berkata lebih 70 peratus daripada lukisan yang dilelong berjaya dijual.

Katanya, tidak seperti tahun sebelumnya, sesi pelelongan akan diadakan tika kali tahun ini dengan lelongan seterusnya dijadualkan pada Jun dan Oktober ini.

"Memandangkan syarikat kami, yang diasaskan pada 2009, akan menyambut ulang tahun ke-10 pada 30 Jun ini, kami memutuskan untuk menambah sesi pelelongan bagi menjadikan tahun ini lebih istimewa,” katanya.

Sementara itu, dua lagi lukisan mencuri tumpuan pembida iaitu hasil karya Yusof Ghani bertajuk ‘Siri Tari- Dabus' yang menerima bidaan RM196,000. Yusof mengambil masa dari 1993 hingga 1994 untuk menghabiskannya.

Satu lagi lukisan yang menerima bidaan tinggi RM140,000 ialah lukisan corak batik tanpa tajuk, hasil tangan pelukis Ismail Mat Hussin pada 2008.

889 dibaca
Berita Harian X