Isnin, 25 March 2019 | 10:24pm
KETUA Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
KETUA Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Ganding bahu banteras penularan tibi - KP Kesihatan

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan menyeru komitmen semua pihak untuk berganding bahu membanteras penularan penyakit tibi di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Malaysia mencatat 25,837 kes tibi dilaporkan tahun lalu, menurun sebanyak 1.3 peratus berbanding 26,168 kes pada 2017.

Bagaimanapun, beliau berkata, kadar kematian akibat tibi ialah 6.6 bagi setiap 100,000 penduduk, tahun lalu, meningkat berbanding 6.5 bagi setiap 100,000 penduduk pada 2017.

“Analisa hasil rawatan bagi kes tibi berdaftar pada 2017 menunjukkan ada satu kes kematian dalam setiap 10 kes berdaftar.

“Justeru, adalah penting untuk pesakit mendapatkan rawatan awal bagi mengelakkan komplikasi dan kematian akibat tibi, sekali gus mencegah penularan penyakit itu kepada orang lain,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, hebahan mengenai tibi akan diteruskan supaya maklumat mengenai penyakit itu dapat dihayati segenap lapisan masyarakat.

“Stigma dan salah faham berkaitan tibi perlu diperbetulkan. Pihak kementerian menyeru komitmen semua pihak meliputi yang memberi perkhidmatan kesihatan berkaitan tibi di negara ini, termasuk fasiliti kesihatan swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kerajaan tempatan dan masyarakat setempat untuk berganding bahu membanteras penyakit itu bagi menjamin kesihatan rakyat tanpa tibi.

“Dengan komitmen tinggi semua pihak, hasrat Malaysia untuk bebas tibi suatu hari nanti akan menjadi kenyataan,” katanya.

Hari Tibi Sedunia disambut pada setiap 24 Mac pada peringkat global sempena mengingati penemuan bakteria terbabit.

Tema sambutan tahun ini ialah ‘Inilah Masanya: Kesan, Rawat dan Pastikan Sembuh Tibi’, bermaksud individu yang ada tanda awal penyakit berkenaan perlu segera mendapatkan rawatan saringan.

Antara tanda penyakit tibi ialah batuk berpanjangan melebihi dua minggu, demam, berpeluh pada waktu malam, kurang selera makan, susut berat badan dan batuk berdarah.

Berita Harian X