Rabu, 27 March 2019 | 11:47am
PENGERUSI SPR, Azhar Azizan Harun. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

SPR edar kad pengundi untuk PRK Rantau

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meneruskan inisiatif penghantaran kad pengundi (voter’s card) kepada 20,922 pengundi termasuk 118 pengundi awal dan 20,804 pengundi biasa pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun, berkata pemberian kad berkenaan adalah salah satu usaha untuk menggalak dan memudahkan pengundi keluar mengundi pada hari berkenaan.

Tambah beliau, kad pengundi berkenaan mengandungi maklumat pengundian iaitu pusat mengundi, saluran, bilangan, tarikh dan masa mengundi.

“Maklumat ini akan memudahkan pengundi keluar mengundi pada hari mengundi awal 9 April ini dan hari mengundi biasa pada 13 April.

“Pengundi yang sudah menerima kad pengundi itu tidak lagi perlu membuat semakan di Barung SPR bagi menyemak saluran dan nombor bilangan pengundi dalam daftar pemilih kerana maklumat berkenaan sudah tertera di kad itu.

“SPR akan mengedarkan kad pengundi berkenaan mulai 27 Mac ini kepada semua pengundi bagi PRK DUN Rantau, Negeri Sembilan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azhar menegaskan, pengundi masih diwajibkan membawa kad pengenalan bagi pengesahan identiti.

“Kad pengundi yang diedarkan itu hanya bagi memudahkan semakan pada hari mengundi. Pengundi yang tidak menerima kad pengundi berkenaan berkemungkinan sudah berpindah.

“Semakan boleh dibuat melalui portal SPR di www.spr.gov.my atau Aplikasi MySPR Semak atau melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) (SPR SEMAK NOMBOR KAD PENGENALAN dan hantar ke nombor 15888 atau menghubungi talian hotline SPR di 03-8892 7018,” katanya.

Berita Harian X