Rabu, 27 March 2019 | 11:36pm
RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan menaiki kenderaan Humdiga pada Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2019 (LIMA’19). - Foto BERNAMA

Polis Marin pamer aset baharu, Humdiga pada LIMA'19

LANGKAWI: Pasukan Polis Marin akan diperkuatkan dengan enam unit aset terbaharu dikenali sebagai Humdiga yang boleh digunakan dalam operasi di laut dan darat, kata Komandernya, Senior Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat.

Beliau berkata, sebuah Humdiga berharga RM4.9 juta dan dibuat di United Kingdom, sudah diserahkan kepada pasukan itu, manakala lima lagi menyusul pada April depan.

“Aset baharu ini akan ditempatkan di Johor bagi kegunaan dalam Wilayah 2, sementara bagi Wilayah 3 pula ditempatkan di Kuantan,” katanya kepada Bernama, di sini, hari ini.

Beliau ditemui selepas taklimat oleh Pengurus Pembangunan Perniagaan STREIT Group, iaitu syarikat pembuat Humdiga, Sarah Evans, kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Baginda bersama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil, berada di Langkawi bagi menyaksikan Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2019 (LIMA’19) dan turut menyaksikan demonstrasi Humdiga sebelum menaikinya.

Terdahulu, baginda berdua tiba di Jeti Resorts World Langkawi dengan menaiki bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan disambut Inspektor Jeneral Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Pertama Baharudin Wan Md Nor.

Mohd Yusoff berkata, sebuah Humdiga yang diserahkan kepada Polis Marin turut dipamerkan pada LIMA’19 sebagai aset baharu Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata, Humdiga boleh mencapai kelajuan 30 knot di laut dan 110 kilometer sejam di darat.

Sementara itu, Tuanku Syed Faizuddin bertitah, penganjuran LIMA seharusnya dapat mempertingkatkan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), terutama dalam aspek peperangan alaf baharu yang menggunakan peralatan canggih dan terkini.

“Aset dan peralatan moden dengan menggunakan UAV dan dron sebagai contoh, adalah faktor penting yang memastikan operasi ketenteraan seperti perisikan dan pengawasan, mencapai kejayaan,” titah baginda.

Baginda bertitah, Revolusi Industri 4.0 sudah membuka beberapa domain baharu, termasuk domain siber dan domain angkasa yang tidak diketahui ramai.

“Atas sebab ini, ATM perlu memperkukuhkan keupayaan ketiga-tiga cabang darat, udara dan laut supaya dapat menghadapi ancaman global tanpa sempadan,” titah baginda. – BERNAMA

Berita Harian X