Khamis, 28 March 2019 | 7:19pm
Sementara itu, gaji pemegang ijazah sarjana muda adalah RM1,983 pada 2018 berbanding RM1,993 pada 2010, manakala pemegang ijazah sarjana memperoleh gaji RM2,707, penurunan daripada RM2,923 pada 2010. - Foto hiasan

Kos operasi tinggi, kurang daya maju punca gaji permulaan graduan tak naik

KUALA LUMPUR: Kos operasi tinggi disebabkan pinjaman bank dalam kalangan perniagaan terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini dikenal pasti antara punca gaji permulaan graduan tidak naik sejak 2010.

Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata PKS dibelenggu komitmen hutang berikutan kos pinjaman yang tinggi sehingga majikan tidak lagi mampu membayar gaji tinggi kepada pekerja.

Dr Ahmed Razman berkata, kira-kira 1.4 juta PKS menyumbang kepada 60 peratus tenaga kerja di Malaysia namun kebanyakan mereka sukar mendapat pembiayaan bank pada kadar faedah yang rendah.

“Bagaimana majikan nak naikkan gaji pekerja, jika mereka juga dibebani kos operasi yang tinggi? Di sini, agensi penyedia pinjaman seperti SME Bank perlu memainkan peranan di mana agensi ini sepatutnya memberi pinjaman mudah kepada PKS tanpa kadar bunga.

“Agensi bank pula boleh keluarkan syarat, jika mahu dapatkan pinjaman, majikan perlu menggaji graduan. Jika syarikat berjaya catat keuntungan, hasil cukai akan dibayar kepada kerajaan dan agensi seperti SME Bank boleh tuntut semula cukai ini.

“Sebagai contoh, syarikat berkenaan bayar cukai sebanyak 24 peratus, 4.0 peratus daripada hasil cukai itu boleh dituntut oleh atau disalurkan kepada SME Bank sebagai balasan terhadap pinjaman mudah ini. Dalam hal ini, bank kekal berdaya tahan dan syarikat juga mampu menjana keuntungan dan dapat salurkan kepada tenaga kerjanya,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.


Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff.

Beliau mengulas Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia (BNM) 2018 kelmarin yang mana antara dapatan bank pusat itu ialah gaji permulaan kebanyakan graduan di negara ini menurun sejak 2010 selepas mengambil kira faktor inflasi.

Graduan berkelulusan diploma mendapat gaji sebanyak RM1,376 pada 2018 berbanding RM1,458 pada 2010.

Sementara itu, gaji pemegang ijazah sarjana muda adalah RM1,983 pada 2018 berbanding RM1,993 pada 2010, manakala pemegang ijazah sarjana memperoleh gaji RM2,707, penurunan daripada RM2,923 pada 2010.

Ditanya adakah struktur ekonomi dan dasar kerajaan yang menjadi faktor menjejaskan kebolehpasaran siswazah, Dr Ahmed Razman berkata, agensi pemberi pinjaman perlu lebih fleksibel dalam menyalurkan pinjaman dengan tidak terhad kepada syarikat PKS berskala besar sahaja.

“Trend sekarang, jika PKS berskala kecil nak dapatkan pinjaman, mesti ditolak. Apa kata ubah syarat kelayakan, di mana pastikan majikan ambil graduan dalam organisasinya.

“Di negara ini ada 1.4 juta PKS, jika satu syarikat ambil seorang siswazah bekerja, masalah gaji graduan ini akan selesai,” katanya.

Mengulas mengenai isu pengangguran dalam kalangan graduan, beliau berkata, gaji yang rendah menyebabkan graduan tidak bermotivasi dan kurang berminat untuk bekerja dalam syarikat PKS.

“Jangan kata mereka memilih kerja sebab selepas tamat pengajian mereka bermotivasi untuk cari kerja namun sekarang adalah isu kos sara hidup yang tinggi dan juga perniagaan tak mampu bagi gaji tinggi.

“Gaji munasabah pula bergantung kepada lokasi bekerja dan tempat tinggal. Setiap lokasi berbeza kos sara hidup dan gaji yang mereka dapat haruslah mampu memberikan pendapatan boleh guna setiap bulan,” katanya.

Berita Harian X