Jumaat, 29 March 2019 | 6:52pm
Orang ramai melihat pertunjukan udara sempena LIMA'19 di Pusat Pameran Antarabangsa Langkawi (MIEC), Langkawi. - NSTP/Muhd Zaaba Zakeria
Orang ramai melihat pertunjukan udara sempena LIMA'19 di Pusat Pameran Antarabangsa Langkawi (MIEC), Langkawi. - NSTP/Muhd Zaaba Zakeria

LIMA akan ditambah baik

LANGKAWI: Penganjuran Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (LIMA) akan ditambah baik termasuk memasukkan komponen aeroangkasa pada masa hadapan.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, berkata selepas LIMA 2019 (LIMA’19) diiktiraf sebagai yang terbaik dalam penganjurannya, pameran itu perlu dipertingkat lagi pada masa akan datang.

Katanya, antara yang dicadangkan ketika ini adalah pembabitan lebih banyak syarikat komersial dan memasukkan komponen aeorangkasa dalam penganjurannya pada 2021.

“Pada kali pertama dianjurkan pada 1991, hanya satu syarikat tempatan terbabit, tetapi pada LIMA’19 terdapat 206 pemamer tempatan terbabit sehingga membanggakan negara.

“Saya tidak tahu masih menjadi Menteri Pertahanan atau tidak pada LIMA 2021, tetapi kita harap pameran ini dapat dipertingkat penganjurannya termasuk memasukkan komponen aeroangkasa,” katanya pada sidang media LIMA’19 di sini, hari ini.

LIMA’19 mencatatkan rekod apabila jumlah nilai Memorandum Persefahaman (MoU) dan kontrak yang ditandatangani sepanjang pameran itu adalah melebihi RM4 bilion, iaitu tertinggi dalam sejarah penganjurannya sejak 1991.

Pengunjung bertuah, (dari kiri) Hanida Harun, 52, Nadia hashim Kamil, 37, Zinedine Ben Bahar, 8, Norela Ibrahim, 55, dan Nurul Dafila Nur Azlizal, 34, adalah orang awam pertama yang dapat memasuki ke dalam KD Tunku Abdul Rahman selepas memenangi peraduan Segmen Maritim yang dianjurkan oleh TLDM sempena LIMA'19. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Mohamad berkata, kehadiran pelawat perdagangan seramai 42,030 daripada 63 negara menunjukkan pameran itu mempunyai tarikan dan pengunjung setia tersendiri.

Sementara itu pada sidang media sama, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke , berkata pihaknya akan berusaha meningkatkan penyertaan syarikat komersial sehingga 50 peratus pada pameran akan datang.

“Bagi pihak kementerian, kita menganjurkan Persidangan Antarabangsa Selat Melaka dan Persidangan Penerbangan ASEAN yang disertai lebih 500 peserta dari dalam dan luar negara.

“Taklimat kerjaya yang diadakan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Malaysia Airpot Berhad dan Institut Maritim Malaysia (MMA) turut menarik perhatian 300 peserta,” katanya.

Berita Harian X