Ahad, 31 March 2019 | 5:00pm

Perpaduan kaum menyumbang kepada kemajuan negara

GEORGETOWN: Perpaduan kaum menjadi faktor penting bagi mencapai status negara maju, kata Pengerusi Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS), Tan Sri Lee Lam Thye.

Katanya, perpaduan harus bermula dari sekolah rendah melalui aktiviti di sekolah bagi menyemai nilai keharmonian antara kaum.

Justeru, katanya, guru perlu menggunakan kreativiti dan kemahiran bagi menarik minat murid daripada semua kaum untuk mengambil bahagian dalam aktiviti dalaman atau luaran.

“Melalui aktiviti ini, ia dapat meningkatkan integrasi kaum dan membolehkan mereka berinteraksi antara satu sama lain untuk membina persahabatan yang kekal.

“Kejayaan Malaysia pada hari ini kerana wujudnya perpaduan kaum. Oleh itu, saya mahu pelajar menghargai dan menghayati persekitaran yang wujud antara kawan berlainan kaum,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 anjuran Peninsular College, di sini hari ini.

Dalam majlis itu, seramai 100 pelajar yang memperoleh keputusan 7A dan ke atas dalam SPM 2018, diraikan.

Lam Thye juga berkata, siswa universiti awam dan universiti swasta digalakkan membabitkan diri dalam aktiviti sukarelawan YSS bagi memupuk semangat perpaduan dengan lebih erat.

Katanya, YSS berperanan memupuk integrasi kaum melalui latihan dan kemahiran yang dijalankan bagi melahirkan ikon sukarelawan dalam kalangan siswa.

“Peserta sukarelawan YSS akan dilatih dalam bidang pengurusan bencana, pembangunan komuniti, aspek perubatan, dan perlindungan alam sekitar sebelum dihantar ke mana-mana misi di dalam atau luar negara.

“Malah, misi ini bertujuan memberi pendedahan dan melatih ketahanan serta semangat kesukarelawanan dalam diri siswa bagaimana untuk berbakti kepada masyarakat,” katanya.

LAM THYE (dua dari kanan) bersama Ketua Pegawai Ekeskutif CS Tuition, Wong Chee Siang (dua dari kiri) beramah mesra dengan pelajar yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 di Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan SPM 2018, CS Tuition,di Vistana Hotel, Bayan Baru, Pulau Pinang. - Foto Ramdzan Masiam
LAM THYE (dua dari kanan) bersama Ketua Pegawai Ekeskutif CS Tuition, Wong Chee Siang (dua dari kiri) beramah mesra dengan pelajar yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 di Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan SPM 2018, CS Tuition,di Vistana Hotel, Bayan Baru, Pulau Pinang. - Foto Ramdzan Masiam
Berita Harian X