Selasa, 2 April 2019 | 2:38pm

Husam dilantik Pengerusi KADA yang baharu

KOTA BHARU: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Datuk Husam Musa dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) yang baharu berkuat kuasa 1 Mac lalu.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub, berkata pelantikan itu dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Katanya, pemilihan itu selepas mengambil kira semua faktor dan memberi peluang kepada Husam memandangkan adalah anak jati negeri ini dan pernah menggalas jawatan sebagai EXCO kerajaan negeri.

“Diharap pelantikan Husam ini dapat menjadikan KADA ke hadapan selain akan memainkan peranan untuk tentukan hala tuju yang digariskan iaitu memodenkan semua sektor dalam pertanian terutama berkaitan padi.

“Apa yang penting, KADA akan menjadi lebih mantap bagi memajukan jelapang padi kedua terbesar selepas Kedah di Semenanjung Malaysia, dengan pelantikan ini,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Pengerusi Baru KADA di sini, hari ini.

Jawatan itu sebelum ini disandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas, Datuk Md Alwi Che Ahmad.

Ditanya mengenai kemarau menyebabkan tanaman padi di kawasan KADA menghadapi kekurangan air, Salahuddin berkata, pihaknya sudah mengambil beberapa inisiatif dan tindakan, antaranya mengepam air yang dikitar semula dari sungai berdekatan.

“Pada masa sama, operasi pembenihan awan dengan kerjasama Jabatan Meteorologi akan dilakukan selepas melihat kesesuaian pada minggu ini,” katanya.

Untuk rekod kira-kira satu pertiga atau 7,440 hektar daripada 26,833 hektar keseluruhan kawasan padi KADA terjejas akibat cuaca panas dan ketiadaan hujan sejak sebulan lalu membabitkan 2,500 pesawah.

Sementara itu, Husam berkata, kemarau yang menyebabkan hasil petani merosot akan menjadi perhatiannya dan akan mencari penyelesaian terbaik hasil bantuan pegawai yang lebih berpengalaman.

“Hasrat kami adalah meningkatkan pendapatan petani. Kita akan mencari kaedah terbaik bagi mencapai sasaran ini,” katanya.

Salahuddin (tengah) menyampaikan watikah pelantikan Pengerusi KADA yang baharu kepada Husam di Auditorium Tan Sri Mohamed Yaacob, Pejabat KADA, Lundang. Turut bersama, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Sallehhuddin Hassan (kanan). - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Berita Harian X