Khamis, 4 April 2019 | 8:19pm
Dewan Rakyat hari ini meluluskan RUU Perbekalan Tambahan (2018) 2019 dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Tambahan Pertama 2018 berjumlah RM15.485 bilion. - Arkib NSTP
Dewan Rakyat hari ini meluluskan RUU Perbekalan Tambahan (2018) 2019 dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Tambahan Pertama 2018 berjumlah RM15.485 bilion. - Arkib NSTP

Parlimen lulus bajet tambahan RM19.6b

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat semalam meluluskan bajet tambahan RM19.6 bilion seperti yang dicadangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Ia dicapai apabila Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2018) dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Tambahan Pertama 2018 diluluskan selepas dibacakan kali ketiga di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof dan mendapat undian majoriti.

Guan Eng sewaktu membentangkan RUU itu pada Selasa berkata perbelanjaan tambahan sebanyak RM19.6 bilion, tidak akan menjejaskan sasaran defisit fiskal 3.7 peratus yang telah ditetapkan kerajaan bagi 2018 kerana ia adalah sebahagian daripada perbelanjaan sebenar bagi tahun berkenaan.

Lim berkata daripada anggaran perbelanjaan tambahan RM19.6 bilion, RM15.49 bilion adalah perbelanjaan pembangunan dan RM4.13 bilion lagi adalah perbelanjaan mengurus.

“Seperti yang dijelaskan, RM6.3 bilion adalah komitmen kerajaan terdahulu yang tidak disediakan peruntukan dan RM4.3 bilion adalah peruntukan tambahan yang diperlukan untuk bayaran khidmat hutang di luar kunci kira-kira yang dipinjam oleh kerajaan terdahulu.

“Baki sebanyak RM9 bilion pula bukan perbelanjaan tambahan, sebaliknya adalah pengklasifikasian semula perbelanjaan, terutama perbelanjaan mengurus kepada pembangunan,” katanya.

Ini termasuk perbelanjaan RM2 billion bagi pembiayaan pengajian pelajar dalam dan luar negara di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA), bayaran balik pinjaman Dana Infra sebanyak RM1 bilion serta bayaran khidmat hutang Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) sebanyak RM3.9 bilion.

Selain peruntukan mengklasifikasikan semula perbelanjaan, sebanyak RM1.9 bilion juga diperuntukkan untuk pindahan lebihan hasil kepada Kumpulan Wang Pembangunan.

Katanya, secara keseluruhan perbelanjaan sebenar 2018 bagi perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan adalah sebanyak RM289 bilion berbanding RM280 bilion yang telah diluluskan dalam Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2018.

Ketika membentangkan RUU berkenaan untuk bacaan kali kedua pada Selasa, Guan Eng menjelaskan anggaran tambahan bajet pembangunan itu diperuntukkan kepada beberapa kementerian iaitu Kementerian Kewangan membabitkan sejumlah RM9.2 bilion.

Kementerian lain ialah Kementerian Kerja Raya sebanyak RM1.97 bilion, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (RM1.43 bilion), Kementerian Pengangkutan (RM1.4 bilion) dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (RM876.4 juta).

Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (RM417.5 juta), Jabatan Perdana Menteri (RM119.6 juta), Kementerian Pendidikan (RM41.5 juta) serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (RM30 juta).

Berita Harian X