Ahad, 7 April 2019 | 2:32pm
Fasa pertama PKPS LHDN dengan pengenaan kadar penalti 10 peratus dilanjutkan sehingga 30 Jun ini. - Arkib NSTP

Kadar penalti 10 peratus dilanjut hingga 30 Jun

PUTRAJAYA: Fasa pertama Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dengan pengenaan kadar penalti 10 peratus daripada amaun cukai yang dikenakan akan dilanjutkan sehingga 30 Jun ini .

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata fasa kedua PKPS dengan pengenaan kadar penalti 15 peratus pula akan bermula pada 1 Julai dan tamat pada 30 September depan.

Beliau berkata sehingga 31 Mac lalu, sejumlah 381,979 pengakuan sukarela diterima LHDN dan Jemaah Menteri bersetuju melanjutkan tempoh PKPS berikutan sambutan yang sangat menggalakkan daripada pembayar cukai.

Mengulas lanjut, beliau berkata mulai 1 Oktober depan, kadar penalti 45 peratus ke atas akan dikenakan bagi mana-mana kesalahan tidak mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) dan juga kesalahan kurang melaporkan cukai pendapatan.

“PKPS memberikan fokus utama kepada pembayar cukai yang mempunyai akaun bank di luar negara serta mempunyai pendapatan yang dijana dari dalam Malaysia tetapi masih belum melaporkannya kepada LHDN.

“Pada masa sama kerajaan juga mengalu-alukan mana-mana pembayar cukai tempatan yang tidak mempunyai akaun bank di luar negara untuk membuat apa juga pengakuan secara sukarela berhubung pendapatan yang berpunca dari dalam Malaysia dan masih belum dilaporkan sekiranya ada,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, menerusi PKPS, pengakuan sukarela bagi pendapatan tidak dilaporkan yang dibuat bermula 3 November 2018 hingga 31 Mac 2019, hanya akan dikenakan 10 peratus penalti daripada jumlah cukai perlu dibayar, manakala pengakuan daripada 1 April hingga 30 Jun tahun ini, dikenakan penalti sebanyak 15 peratus daripada jumlah cukai perlu dibayar.

Beliau berkata kerajaan berharap dengan lanjutan tempoh diberikan ini, lebih ramai pembayar cukai akan menyertai PKPS bagi membolehkan mereka menikmati kadar penalti yang rendah dan seterusnya dapat mengurangkan bebanan cukai mereka.

“Pengakuan sukarela bagi pembayar cukai kategori individu boleh dibuat sehingga pendapatan tahun berakhir 31 Disember 2017, manakala bagi pembayar cukai kategori syarikat pula, pengakuan sukarela boleh dibuat bagi pendapatan sehingga tempoh perakaunan 31 Mac 2018.

“LHDN juga sudah mematuhi arahan kerajaan tahun lalu, supaya sebarang siasatan dijalankan tanpa ugutan atau ancaman, termasuk menghentikan semua serbuan ke atas rumah atau pejabat pembayar cukai dengan ditemani oleh anggota yang bersenjata dan memakai topeng muka ‘balaclava’.

“Sekiranya ada mana-mana pihak yang mengingkari arahan ini, pihak yang terkesan diminta membuat aduan kepada pihak LHDN atau Kementerian Kewangan,” katanya.

Beliau berkata LHDN akan menerima setiap pengakuan sukarela berkenaan dengan suci hati dan tindakan audit serta siasatan tidak akan dilakukan terhadap pengakuan sukarela itu.

“LHDN juga akan mengeluarkan surat pengesahan bagi setiap pengakuan sukarela yang diterima dan surat kesahihan pelaporan cukai secara sukarela adalah teratur akan diberikan setakat 2017 untuk individu dan 31 Mac 2018 untuk syarikat,” katanya.

Sebarang maklumat lanjut boleh kunjungi Pejabat LHDN berhampiran atau hubungi Hasil Care Line LHDN di talian 1800885436 atau 6037713 6666 (Luar Negara) atau menghantar emel pertanyaan kepada [email protected].

Berita Harian X