Selasa, 9 April 2019 | 5:30pm
SAIFUDDIN Nasution merasmikan Food Bank Universiti Malaya (UM) di Kompleks Perdana Siswa, UM. - Foto Eizairi Shamsudin
SAIFUDDIN Nasution merasmikan Food Bank Universiti Malaya (UM) di Kompleks Perdana Siswa, UM. - Foto Eizairi Shamsudin

Food Bank Siswa Malaysia sasar bantu 20,000 pelajar universiti

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyasarkan 20,000 mahasiswa dari keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40) menerima bantuan menerusi program Food Bank Siswa Malaysia menjelang hujung tahun ini.

Setakat ini, program sudah dilancarkan di empat kampus universiti awam (UA), iaitu Universiti Teknologi Mara (UiTM) Permatang Pauh, Pulau Pinang; Kampus Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Kuala Lumpur, Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang dan terbaru hari ini, Universiti Malaya (UM).

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata inisiatif itu yang mendapat sokongan dan kerjasama baik pentadbiran universiti dan digerakkan oleh persatuan mahasiswa universiti masing-masing, akan diperluaskan ke 20 UA seluruh negara sebelum hujung tahun ini.

“Malah, kita yakin program ini mampu kekal lama kerana ia digerakkan sendiri oleh mahasiswa yang dilatih termasuk dalam urusan stok, inventori serta agihan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Food Bank Siswa Malaysia di UM, di sini.

Beliau berkata, program Food Bank Siswa adalah kesinambungan daripada program Food Bank Malaysia yang dilancarkan pada Ogos lalu dan memberi manfaat kepada 37,000 individu dari kumpulan B40 di seluruh negara.

SAIFUDDIN Nasution melawat Food Bank Universiti Malaya (UM) selepas merasmikannya di Kompleks Perdana Siswa, UM. - Foto Eizairi Shamsudin
SAIFUDDIN Nasution melawat Food Bank Universiti Malaya (UM) selepas merasmikannya di Kompleks Perdana Siswa, UM. - Foto Eizairi Shamsudin

Sementara itu, Saifuddin berkata, ketika ini 430 pasar raya sudah bersetuju untuk menjayakan program berkenaan dengan berperanan sebagai pembekal.

“Dengan komitmen 430 pasar raya ini, kita yakin rantaian bekalan makanan untuk program bantuan ini akan berterusan. Sehubungan itu, kita menggubal rang undang-udang berkaitan Food Bank Malaysia yang akan dibawa ke Parlimen selewat-lewatnya hujung tahun ini bagi menjaga kepentingan penyumbang.

“Undang-undang ini penting kerana secara tidak langsung dapat memberi manfaat kepada semua pihak termasuk memudahkan kawal selia, melindungi penyumbang dan kerajaan juga dapat memberi insentif kepada penyumbang. Malah, kita percaya undang-udang baharu ini mampu menambah jumlah penyumbang, ” katanya.

Ditanya sama ada program berkenaan akan diperluaskan ke sekolah dan instutusi pengajian lain, beliau berkata, buat masa ini pihaknya akan memberi tumpuan kepada UA terlebih dahulu.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, Food Bank Siswa UM digerakkan melalui dua kaedah, iaitu ‘Food Pantry’ yang menyediakan bekalan makanan kering sebelum diagihkan kepada mahasiswa yang layak serta ‘Central Kitchen’ .

“Bagi ‘Central Kitchen’, universiti sediakan kemudahan logistik seperti dapur untuk meletakkan bahan mentah yang selamat namun tidak habis dijual di pasar raya,” katanya.

Pertengahan Mac lalu, BH menyiarkan laporan eksklusif mendedahkan sebilangan pelajar UM dari keluarga B40 terpaksa mengikat perut dengan hanya makan sekali sehari, kerap berpuasa dan bergantung kepada sebuku roti untuk dua hari akibat kekangan kewangan.

Pendedahan berkenaan kemudian mendapat perhatian Kabinet yang mahu bantuan segera dihulur kepada mahasiswa memerlukan di semua UA.

Susulan itu, kerajaan meluluskan peruntukan RM3 juta kepada program Food Bank Malaysia untuk diperluaskan ke kampus UA, manakala KPDNHEP bertanggungjawab mengendalikan program mengedar bekalan makanan kepada golongan sasaran.

Berita Harian X