Khamis, 11 April 2019 | 3:19pm
April lalu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar Perak, Dr Abdul Aziz Bari mengesahkan pencemaran arsenik berlaku di Sungai Rui, Gerik. - NSTP/Abdullah Yusof

Dicemari arsenik, LRA Sungai Ganda diarah tutup

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) kesal dengan tindakan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Ganda di Gerik, Perak terus beroperasi walaupun terjejas dengan pencemaran arsenik.

Pengerusi SPAN, Charles Santiago, berkata Kementerian Kesihatan mula mengesan pencemaran itu pada 8 Januari lalu, sebelum arahan dikeluarkan kepada Lembaga Air Perak (LAP) pada 14 Januari untuk menutup LRA berkenaan jika operator air negeri itu gagal mengatasinya.

Bagaimanapun, katanya, laporan susulan Kementerian Kesihatan pada Februari dan Mac masih mengesan kandungan arsenik dalam air terawat manakala LAP tetap meneruskan operasi LRA yang membekalkan air terawat kepada lebih 1,500 penduduk Kampung Ayer Ganda.

Sehubungan itu, katanya, SPAN mengarahkan LAP menutup LRA Sungai Ganda serta-merta, bermula kelmarin.

“Keracunan arsenik ini sangat serius kerana kesannya tak diketahui sekarang, tetapi mungkin dua, tiga atau lima tahun lagi. selain boleh menyebabkan kanser.

“Tindakan mana-mana pengendali air meneruskan operasi LRA walaupun tahu ada pendedahan bahan karsinogenik adalah tidak adil buat pengguna dan tidak boleh diterima.

“Pasukan penyiasat SPAN sudah berada di sana dan kita akan membuat laporan terhadap LAP jika mereka didapati melakukan kesalahan,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Beliau mengulas isu pencemaran arsenik di Sungai Rui, Gerik, Perak yang mula dilaporkan media sejak beberapa hari lalu.

April lalu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar Perak, Dr Abdul Aziz Bari mengesahkan pencemaran arsenik berlaku di sungai berkenaan.

Bagaimanapun, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, semalam menegaskan pencemaran logam berat itu kurang daripada 0.01 miligram, iaitu rendah berbanding piawaian ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sekali gus air terawat LRA Sungai Ganda adalah selamat.

Mengulas kenyataan itu, Charles berkata, SPAN tetap memandang serius isu pencemaran berkenaan kerana lebih 1,500 penduduk Kampung Ayer Ganda terdedah dengan keracunan arsenik sejak Januari lalu.

“Mereka minum dari air paip sama ada secara langsung atau tidak.

“Pencemaran ini juga memberi kesan pada ikan dan hidupan lain dalam Sungai Rui dan jika penduduk makan dari sumber sungai itu, mereka terdedah kepada keracunan arsenik secara berganda,” katanya sambil menambah kesannya lebih buruk pada wanita hamil.

Charles berkata, arsenik itu berpunca daripada lombong lama, sama ada tidak diselenggara dengan baik atau kejadian semula jadi.

“Keutamaan kami ada memastikan rakyat mendapat air bersih dan selamat untuk diminum,” katanya.

942 dibaca
Berita Harian X