Jumaat, 12 April 2019 | 12:48pm
Ketua Srikandi BERSATU, Datuk Seri Rina Harun. - NSTP/Asyraf Hamzah

Singkir Tun M sebagai PM satu penghinaan - Rina Harun

KUALA LUMPUR: Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menegaskan sebarang usaha menyingkirkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri adalah keji dan penghinaan kepada rakyat yang memilih secara demokrasi.

Ketuanya, Datuk Seri Rina Harun, berkata apa yang berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) menunjukkan rakyat memilih secara demokrasi dan keputusan itu perlu diterima serta dihormati.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan mereka yang dibelenggu sikap negatif supaya tidak bertindak melulu sehingga boleh menggugat keharmonian dan merugikan negara.

“Tanggal 9 Mei adalah tarikh keramat julung kalinya kerajaan kleptokrat Barisan Nasional (BN) selama 62 tahun berjaya ditumbangkan. Ini adalah kemerdekaan buat rakyat Malaysia yang memilih dan menghasilkan keputusan bersejarah pada PRU-14.

“Dr Mahathir yang mengetuai gabungan Pakatan Harapan (PH) berjaya mengalahkan rejim BN demi rakyat dan negara. Sungguhpun cubaan gabungan pelbagai parti pernah diusahakan, gabungan itu gagal sehinggalah PH diterajui Dr Mahathir berjaya menukar senario ini.

“Rakyat memilih secara demokrasi, jadi keputusan itu perlu diterima dan dihormati. Mereka yang berhasad dengki perlu ingat jangan kerana ingin menang sorak kampung tergadai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Rina berkata, selama ini tidak pernah sekali pun Dr Mahathir mengkhianati rakyat dan negara.

Beliau berkata, pengalaman dan kebijaksanaan Dr Mahathir memimpin negara adalah aset terpenting dan tiada ganti untuk memulihkan kembali ekonomi serta kehidupan rakyat yang terbukti semakin terjejas disebabkan pemerintahan BN dulu.

Katanya, sesetengah pihak berkepentingan yang bertindak menghasut dan memfitnah Dr Mahathir sebenarnya adalah pengkhianat terhadap rakyat dan negara.

“Rakyat dan raja diberikan gambaran salah sedangkan Statut Rome adalah Makhkamah Jenayah Antarabangsa untuk melindungi rakyat sesebuah negara daripada jenayah berkaitan hak asasi manusia.

“Demi kepemimpinan Dr Mahathir yang diyakini rakyatlah, BERSATU ditubuhkan di Sabah. BERSATU adalah suara membela orang Melayu dan Bumiputera sebenar, bukan seperti UMNO yang pepat di luar tetapi rencong di dalam.

“Srikandi BERSATU teguh menyokong kepimpinan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi PH,” katanya.

Berita Harian X