Selasa, 16 April 2019 | 11:58am
Kementerian Kesihatan sedia mempertimbangkan kaedah rawatan alternatif mengguna ketum jika terbukti mampu mengatasi masalah berkaitan dadah jenis opiat. - NSTP/Sharul Hafiz Zam

Kementerian Kesihatan sedia teroka rawatan alternatif dadah

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan bersedia ‘meneroka’ pilihan yang ada termasuk ketum bagi dijadikan rawatan alternatif untuk mengubati masalah ketagihan dadah jenis opiat membabitkan heroin dan morfin dalam kalangan penagih.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, berkata pihaknya boleh mempertimbangkan kaedah rawatan alternatif menggunakan ketum sekiranya bahan itu terbukti mampu bertindak merawat masalah berkaitan dadah jenis opiat.

“Kita bersedia meneroka pilihan yang ada sekiranya memang ada potensi atau kajian menyeluruh membuktikan mengenai perkara itu sebelum ia boleh dipertimbangkan,” katanya kepada BH, di sini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas cadangan penyelidik dari Universiti Sains Malaysia (USM) supaya ketum dibangunkan sebagai kaedah rawatan alternatif bagi merawat masalah ketagihan dadah jenis opiat.

Miliki potensi

Penyelidik dari Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-ubatan USM, Dr Darshan Singh, dilaporkan berkata manfaat ketum sebagai rawatan alternatif itu diperoleh hasil kajian pihaknya sejak 2010 yang membuktikan bahawa tumbuhan itu berupaya menjadi komponen pengurangan kemudaratan terhadap opiat.

Boon Chye berkata, kementerian pada masa sama tiada halangan bagi mana-mana penyelidik menjalankan kajian terhadap sebarang bahan yang berpotensi dijadikan rawatan alternatif termasuk ketum.


Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye. - NSTP/Owee Ah Chun

Bagaimanapun, katanya, cadangan penyelidik itu disifatkan hanya berada pada peringkat permulaan dan ia memerlukan kajian lebih terperinci serta menyeluruh untuk membuktikan keupayaan daun ketum itu sebagai rawatan alternatif.

“Jika ada saintis yang berminat atau sedang melakukan kajian (terhadap ketum), kita tiada halangan untuk mereka kerana sama ada bahan itu boleh dijadikan rawatan alternatif, ia memerlukan penyelidikan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata, penyelidik yang berminat membawa hasil kajian terhadap ketum ke peringkat lebih tinggi boleh mengemukakan permohonan terbabit ke Bahagian Perkhidmatan Farmasi untuk tindakan selanjutnya.

Tiada permohonan

“Namun, sehingga kini, saya dimaklumkan tiada permohonan daripada mana-mana penyelidik mahupun kelulusan dibuat berhubung penggunaan ketum sebagai rawatan alternatif,” katanya.

Mengenai dana yang diperlukan penyelidik untuk menjalankan kajian terperinci termasuk ujian klinikal terhadap keupayaan ketum sebagai rawatan alternatif, Boon Chye berkata, ia boleh dimohon melalui Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) atau Unit Penyelidikan (CRC).

“Bukan semua penyelidikan boleh mendapat dana. Kita mungkin akan menyokong (memberikan dana) yang benar-benar berpotensi untuk berjaya,” katanya.

AADK Kedah akui potensi ketum

Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kedah tidak menafikan manfaat ketum yang berpotensi dijadikan kaedah rawatan alternatif termasuk membabitkan penyalahgunaan dadah.

Pengarahnya, Mahadzir Elias, berkata bagaimanapun timbul persoalan siapa yang akan mengawal sebarang ruang penyalahgunaan ketum yang disifatkan amat besar jika bahan itu dijadikan kaedah rawatan alternatif.


Pengarah AADK Kedah, Mahadzir Elias. - NSTP/Amran Hamid

Justeru, katanya, sudah tiba masa sebuah badan penguatkuasaan ditugaskan secara khusus dalam mengawal sebarang aktiviti penyalahgunaan ketum, selain kawalan terhadap penanaman bahan itu secara sah.

Lebih membimbangkan, katanya, ketum bukan sahaja diambil oleh golongan ‘memerlukan’ iaitu penagih, namun turut diamalkan oleh masyarakat yang tidak ada kepentingan iaitu pelajar.

“Mahu tentang sepenuhnya tak boleh berikutan ketum diakui memang ada manfaat, tetapi mudaratnya juga ada, malah dikhuatiri lebih banyak berbanding manfaatnya.

Wujud ruang penyalahgunaan

“Jika ada cadangan mahu jadikan ketum sebagai kaedah rawatan alternatif, ia membabitkan isu kawalan, siapa nak kawal kerana ruang penyalahgunaan terhadap ketum amat besar.

“Bagi rawatan alternatif untuk penagih dadah, boleh dibuat kajian tetapi apa perlunya seorang pelajar berusia seawal 10 tahun atau 15 tahun ambil ketum? Ini menjadi kebimbangan kita,” katanya kepada BH, di sini.


Laporan disiarkan BH, semalam.

Mahadzir berkata, kewujudan penguat kuasa dalam mengendalikan perihal berhubung ketum disifatkan penting berikutan adanya ‘kelompongan’ dalam peraturan sedia ada.

Katanya, berikutan ketum dimasukkan di bawah Akta Racun 1952, AADK sendiri tidak mempunyai kuasa untuk menahan individu atau melaksanakan operasi khas bahan itu berikutan ia hanya tertakluk di bawah bidang kuasa polis dan jabatan kesihatan.

“Banyak kelompongan sebab AADK tiada kuasa untuk melakukan tindakan terhadap penyalahgunaan ketum. Apatah lagi, dalam kebanyakan operasi dadah yang kita lakukan, pastinya penagih akan membawa bahan itu sekali untuk disalah guna,” katanya.

Beliau berkata, apa yang boleh dilakukan AADK kini hanya dari aspek pencegahan termasuk memberi motivasi kepada pelajar supaya menjauhi penggunaan bahan itu.

Berita Harian X