Rabu, 17 April 2019 | 11:34am

Kaut RM10,000 kutip deposit rumah orang

KUALA LUMPUR: Mengiklankan rumah untuk disewa menerusi media sosial menggunakan rumah penginapan atau homestay milik orang lain bagi menjerat mangsa membuat bayaran deposit.

Taktik terbaru sindiket yang menyamar sebagai ejen itu berupaya mengaut keuntungan segera mencecah RM10,000 daripada wang deposit rumah untuk disewa, hanya dalam tempoh beberapa jam.

Seorang pemilik homestay, Nooraini Zainal, 46, mendedahkan taktik sindiket yang menyewa unit kondominium miliknya pada Januari dan Februari lalu sebelum dijadikan umpan, menjerat sekurang-kurangnya tiga mangsa bagi satu unit kediaman.

Katanya, kegiatan sindiket terbongkar selepas seorang demi seorang mangsa tampil antara jam 7 petang hingga 9 malam, membawa barang kelengkapan rumah mereka untuk berpindah ke unit kondominium miliknya.

“Saya terkejut apabila ketiga-tiga mangsa masing-masing mendakwa sudah membayar deposit ‘dua campur satu’ bayaran pendahuluan untuk menyewa rumah kepada ‘ejen’ berkenaan.

Mangsa rugi RM10,000

“Masing-masing kerugian lebih RM3,000 seorang dan jumlah keseluruhan lebih RM10,000. Bayangkan itu baru satu unit kediaman.

“Semua mangsa yakin kerana mereka sudah melihat sendiri unit kondominium pada 11 Januari lalu sebelum menerima kunci pada 2 Februari, iaitu sehari sebelum dibenarkan memasuki rumah.

“Kunci ini memang saya berikan kepada penyewa berkenaan pada 1 Februari selepas mereka menjelaskan bayaran sebanyak RM250 untuk penginapan satu malam,” katanya kepada BH.

Beliau membuat laporan polis di Balai Polis Wangsa Maju bersama ketiga-tiga mangsa sejurus kejadian.

Rakaman sistem kamera litar tertutup di unit kondominium yang menunjukkan wajah dan kenderaan milik suspek dan rakannya di premis terbabit turut diserahkan kepada pihak berkuasa.

Nooraini berkata, sindiket amat licik dengan menyerahkan salinan kad pengenalan milik orang lain yang didakwa rakan mereka ketika membuat tempahan.

“Malah, ketika membuat transaksi, suspek memasukkan wang tempahan menggunakan mesin deposit wang ke akaun saya sebelum kunci kediaman diserahkan.

“Saya juga dapati suspek merakam gambar sekitar kediaman sebelum disiarkan di platform media sosial di ruangan iklan mencari rumah.

“Lebih mengejutkan, beberapa pengendali platform media sosial seperti ibilik.my dan iproperty.com sudah pun menghebahkan kepada orang ramai supaya berhati-hati dengan kegiatan seumpama itu,” katanya.

Ejen bawa lihat rumah helah yakinkan penyewa

“Saya terpaksa menginap tiga malam di hotel gara-gara terpedaya dengan iklan rumah sewa tetapi sebenarnya milik orang lain,” kata seorang mangsa sindiket penipuan rumah penginapan homestay.


Mangsa skim penipuan homestay, Bakri Ismail. - Foto NSTP

Eksekutif syarikat kawalan keselamatan, Bakri Ismail, 56, berputih mata bukan sahaja kerana kerugian ribuan ringgit untuk menyewa di kediaman impiannya, tetapi juga terpaksa berhabisan ratusan ringgit menginap di hotel sementara mendapat rumah sesuai untuk disewa.

Pesara tentera dari Terengganu itu berhijrah ke ibu negara selepas menerima tawaran kerja di sebuah syarikat kawalan keselamatan dua bulan lalu.

Pada awalnya, beliau melihat iklan unit kondominium untuk disewa menerusi laman web ibilik.com, sebelum menghubungi ‘ejen’ berkenaan.

Ejen bawa lihat kediaman

“Saya memilih kediaman itu kerana ia terletak di Setapak, tidak jauh dari tempat saya bekerja. Tiada rasa curiga kerana saya dibawa ejen untuk melihat kediaman berkenaan pada 11 Januari lalu sebelum bersetuju menyewa sebulan kemudian.

“Saya membuat bayaran dua bulan campur sebulan sebagai deposit menerusi transaksi ke satu akaun milik seorang lelaki Sabah dikatakan pemilik asal unit kondominium itu pada 1 Februari.

“Ejen berkenaan kemudian menghantar surat perjanjian yang lengkap dan nampak meyakinkan menerusi aplikasi WhatsApp,” katanya kepada BH.

Beliau tiba di premis itu bersama kereta yang dipenuhi barang pada jam 7 petang sebelum mengetahui unit kondominium itu milik orang lain yang digunakan sebagai rumah penginapan.

“Ketika itu saya terkejut, kecewa, marah dan sedih kerana datang beratus-ratus kilometer jauhnya hanya untuk menyedari diperdaya oleh ejen palsu.

“Lebih mengejutkan, pada masa sama, dua lagi mangsa turut mengalami nasib sama.

“Saya cuba menghubungi ejen berkenaan, namun talian sudah diputuskan. Saya dan dua lagi mangsa membuat laporan polis sejurus kejadian,” katanya.

Sindiket tipu gambar homestay ‘curi’ pelanggan

Sekurang-kurangnya 10,000 pemilik mendakwa gambar kediaman mereka digunakan sindiket yang mengaut keuntungan RM3 juta dalam tempoh tiga tahun.

Pengendali bersama laman sosial perbincangan Facebook, Homestay Malaysia, Sham Rahman, berkata jumlah itu diperoleh hasil maklum balas pemilik homestay dan mangsa penipuan menerusi platform itu sejak 2015.

Katanya, Homestay Malaysia yang memiliki 357,000 ahli adalah platform bagi memudahkan pencari homestay mendapatkan rumah penginapan mereka secara terus dengan pemilik asal tanpa perlu melalui ejen.


Rakaman kamera litar tertutup di sebuah kondominium di Setapak menunjukkan seorang mangsa (kiri) bersama individu disyaki ejen penipuan di sebuah kondominium pada awal Februari lalu.

Menyamar ejen

Modus operandi sindiket dengan menyamar sebagai ejen atau pemilik homestay dengan menggunakan gambar kediaman pemilik mampu ‘mencuri’ sekurang-kurangnya RM300 daripada seorang mangsa.

“Tiga elemen utama dalam jenayah penipuan ini iaitu sindiket menggunakan gambar statik, sikap terburu-buru mangsa untuk mendapatkan rumah penginapan atau untuk disewa tanpa menyemak maklumat yang diiklankan dan menggunakan ejen dalam pencarian rumah atau untuk mendapatkan penyewa.

“Perlu diingatkan taktik sindiket amat licik. Mereka berani mencuri gambar asal yang memiliki ‘watermark’ lalu ditambah nombor telefon mereka di bawah ‘watermark’ berkenaan.

“Ada satu nombor akaun bank yang dilaporkan digunakan sindiket dan lebih 20 laporan polis dibuat ke atasnya, tetapi yang menghairankan akaun itu masih aktif sehingga kini,” katanya kepada BH.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan pemilik homestay menggunakan teknologi virtual 360 bagi mengiklankan kediaman mereka kerana menerusi kaedah ini gambar yang diiklankan sudah disahkan pemilik asal dan pencari homestay akan berhubung terus dengan pemilik.

Berita Harian X