Rabu, 17 April 2019 | 5:03pm
PENGURUS BNM, Ahmad Farhan Sharifuddin (kanan) hadir di Mahkamah Tinggi Jenayah 3 untuk perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak erhubung pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan salah guna kuasa di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

AmBank disiasat pengubahan wang haram

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) melakukan siasatan terhadap AmBank Group pada 2015 selepas institusi perbankan itu disyaki terbabit dengan kesalahan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2011.

Pengurus BNM, Ahmad Farhan Sharifuddin, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, beliau diarahkan untuk menjalankan siasatan itu oleh Pengarah Jabatan Perisikan Kewangan, Abdul Rahman Abu Bakar.

Ahmad Farhan yang juga pegawai penyiasat bagi siasatan itu, berkata sehubungan itu beliau mengarahkan pegawainya, Azizul Adzani Abdul Ghafar untuk menjalankan penggeledahan di Bangunan Ambank Cawangan Jalan Raja Chulan pada 6 Julai 2015.

Saksi keempat pendakwaan itu yang menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Suhaimi Ibrahim, pada sesi pemeriksaan utama, berkata melalui hasil siasatan itu pihak BNM menyita beberapa barang dan dokumen.

Katanya, beliau mendapat makluman mengenai hasil rampasan terbabit pada keesokan hari iaitu pada 7 Julai 2015.

“Selain itu, ada juga dokumen berkaitan akaun yang disita dalam bentuk dokumen melalui senarai carian 6 Julai 2015.

“Pada 30 Mei 2018, saya menerima permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk mengemukakan beberapa dokumen dalam simpanan kami,” katanya.

“Antara dokumen lain yang disertakan antaranya senarai geledah dan borang perakuan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung petang ini.

2189 dibaca
Berita Harian X