Khamis, 18 April 2019 | 1:03pm

Kes 24 penguat kuasa JPJ ditahan: Perak, Kedah diarah bantu Pulau Pinang

PUTRAJAYA: Penahanan 24 penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak akan melumpuhkan operasi penguatkuasaan di negeri itu.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid, berkata JPJ Kedah dan Perak sudah diarah menghantar anggota bagi membantu kekurangan penguat kuasa di Pulau Pinang.

“Di Pulau Pinang, kita mempunyai seramai 457 anggota dan pegawai dengan bahagian penguatkuasaan merangkumi 70 peratus daripada jumlah itu termasuk 139 anggota dan pegawai yang terbabit dengan operasi.

“Tugas harian JPJ Pulau Pinang berjalan seperti biasa, tiada gangguan kerana yang terbabit bagi siasatan hanya 24 orang.

“Tangkapan di Pulau Pinang juga hanya membabitkan sebahagian mereka (anggota) yang tidak bertanggungjawab. Apa yang berlaku bukan mencerminkan imej sebenar JPJ yang mempunyai 8,000 kakitangan di seluruh negara,” katanya pada sidang media khas, di sini hari ini.

Shaharuddin menegaskan, dalam pada pihaknya akur dengan penahahan berkenaan, kerjasama penuh akan diberikan kepada SPRM kerana isu integriti adalah perkara yang serius.

“Saya beri amaran kepada anggota dan pegawai JPJ bahawa kita tidak akan tolak ansur dalam isu berkaitan integriti. Kalau ada tangkapan, kita akan bantu siasatan kerana kita mahu JPJ bersih daripada rasuah, penyalahgunaan kuasa dan isu integriti,” katanya.

Beliau berkata, JPJ tidak akan melakukan siasatan dalaman berhubung penahanan anggotanya di Pulau Pinang, sebaliknya menunggu siasatan penuh SPRM.

“Bagi tindakan kita pula, akan ikut Peraturan 43, Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakukan dan Tatatertib) 1993. Selepas anggota terbabit dibebaskan dengan jaminan SPRM, mereka akan digantung tugas selama dua bulan,” katanya.

Shaharuddin berkata, kes penahanan 24 anggotanya juga tidak akan menjejaskan sasaran kutipan hasil yang disasarkan JPJ tahun ini, iaitu RM4.3 bilion.

Semalam, 24 penguat kuasa berkenaan bersama enam orang awam yang dipercayai menjadi proksi kepada penguat kuasa JPJ terbabit, tonto serta pemilik syarikat lori, dibenarkan ditahan reman seminggu sehingga Selasa depan bagi membantu siasatan kes melindungi pemandu lori membawa lebih muatan.

Kumpulan penguat kuasa JPJ itu antara 33 individu berusia 31 hingga 54 tahun, termasuk sembilan orang awam iyang ditahan di sekitar Pulau Pinang dalam satu operasi khas SPRM pada jam 10 pagi hingga 10.30 malam Selasa lalu.

Antara orang awam ditahan dalam gerakan berkenaan adalah tiga wanita yang bagaimanapun sudah dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Kelmarin, media melaporkan 24 penguat kuasa JPJ berjawatan Gred 19 hingga Gred 32 itu adalah sebahagian daripada 75 pegawai jabatan terbabit yang difahamkan sedang dipantau SPRM kerana disyaki menerima rasuah daripada syarikat lori.

Laporan itu juga menyebut, setiap pegawai berkenaan dipercayai menerima bayaran antara RM10,000 hingga RM32,000 secara bulanan sebagai dorongan untuk melindungi dan tidak mengambil tindakan terhadap pemandu lori yang membawa lebih muatan.

1653 dibaca
SHAHARUDDIN Khalid ketika sidang media khas di Ibu Pejabat JPJ, Putrajaya. - Foto BERNAMA
Berita Harian X