Jumaat, 19 April 2019 | 6:11pm
MOHAMAD Sabu. - Foto Saifullizan Tamadi

Laksana perdagangan barter untuk pembelian aset pertahanan

KUALA LUMPUR: Malaysia sedang berunding dengan beberapa negara bagi membuat perolehan aset pertahanan secara sistem barter bagi meluaskan pasaran minyak sawit ke luar negara.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, berkata beberapa negara seperti Russia, China dan Pakistan sudah menunjukkan minat dengan tawaran seumpama itu.

Beliau yang dijadual ke Moscow, Russia esok, akan memberi keutamaan kepada rundingan itu dalam pertemuannya dengan beberapa pemimpin Russia.

“Perdagangan barter ini kita sedang rundingkan termasuk dengan Pakistan, Russia, China dan sebagainya. Esok saya akan ke Moscow bertemu Menteri Pertahanan Russia dan untuk menghadiri beberapa program di sana.

“Kita akan bangkitkan soal perdagangan barter ini sebab nampak negara yang saya sebut tadi bersedia untuk berbincang. Ini kalau diusahakan secara gigih, maka saya ingat kelapa sawit dapat ditingkatkan kedudukan harganya,” katanya.

Beliau juga berkata, menerusi peranan industri pertahanan, tidak mustahil ia boleh menyumbang kepada pengukuhan pasaran minyak sawit ke luar negara.

“Kita usaha gigih ke arah ini. Memang ada sambutan. Ada pula (negara tertentu) kita dengar kapal terbang mereka pun boleh guna minyak sawit juga, barangkali itu dia mahu ambil hati kita,” katanya pada sidang media di Kementerian Pertahanan, di sini, hari ini.

Mohamad berkata, Malaysia juga kecewa dengan sikap Perancis yang didakwa menyokong kumpulan anti minyak sawit Kesatuan Eropah (EU), sekali gus menjejaskan pasaran sawit negara ke pasaran Eropah.

“Setakat ini belum ada ketetapan rasmi (membeli aset pertahanan dari negara baharu termasuk China) atas kekecewaan kita dengan Perancis. Kalau dilihat kebanyakan aset di Malaysia ini termasuk syarikat AirAsia contohnya, hampir semua pesawatnya dibeli dari Airbus (syarikat Perancis).

“Kita juga dalam Kementerian Pertahanan banyak aset (dibeli) dari Perancis termasuk kapal selam. Sebab itu Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan itu. Kalau mereka terus berkempen menentang minyak sawit Malaysia, bolehlah kita beralih (beli aset) ke negara lain,” katanya.

Namun beliau berkata, itu belum menjadi ketetapan kerajaan dan Kementerian Pertahanan sentiasa membantu dan melaksana peranan untuk memastikan isu pasaran minyak sawit Malaysia ke EU sentiasa diberi pertimbangan serius.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, sebelum ini menyatakan Malaysia akan bertindak balas sekiranya negara EU meneruskan sikap tidak adil dan diskriminasi mereka terhadap minyak sawit negara.

Dr Mahathir, juga memaklumkan kerajaan sedia mempertimbangkan tawaran syarikat helikopter dari Russia bagi menggantikan helikopter Nuri milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang sudah berusia lebih 50 tahun.

383 dibaca
Berita Harian X