Sabtu, 20 April 2019 | 11:02am
Model baharu pengurusan tanah peneroka oleh FELDA menerusi pajakan akan memberi pendapatan bulanan minimum yang lebih tinggi. - Foto hiasan

FELDA pajak semua tanah peneroka

KUALA LUMPUR: Model baharu pengurusan tanah peneroka oleh FELDA menerusi pajakan akan memberi pendapatan bulanan minimum yang lebih tinggi dan perkongsian keuntungan hasil ladang itu.

Menerusi model baharu itu, FELDA akan memajak semua tanah peneroka (kira-kira 400,000 hektar), melaksanakan amalan ladang terbaik, menggunakan klon benih berkualiti, untuk meningkatkan hasil pengeluaran dan mengurangkan kos operasi.

Pengerusi FELDA, Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor, berkata apabila dilaksanakan nanti, FELDA akan pastikan peneroka menerima pendapatan minimum bulanan lebih tinggi daripada RM1,000 elaun sara hidup yang dibayar sekarang, selain pendapatan tambahan menerusi perkongsian hasil keuntungan.

“Perincian pasal pajakan ini masih dalam penelitian, termasuk masa sesuai untuk dimulakan, jenis tanaman, jumlah pajakan yang dijangka berbeza mengikut saiz tanah.

(Saiz tanah dimiliki peneroka ketika ini adalah antara lapan ekar (3.2 hektar) hingga 14 ekar (5.7 hektar).

“Saya jangka proses untuk memajak semua tanah itu dapat diselesaikan dalam tempoh lima tahun.

“Peneroka yang memajak tanah kepada FELDA tidak perlu bimbang mengenai penyusutan pendapatan kerana saya yakin model baharu itu akan menambahkan hasil pengeluaran, dan memberikan keuntungan kepada semua pihak, khususnya peneroka,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan BH.


PENGERUSI FELDA, Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor. - NSTP/Salhani Ibrahim

Beliau berkata, peneroka yang memajakkan tanah mereka kepada FELDA juga layak menikmati penghapusan kadar faedah hutang kebun seperti dipersetujui kerajaan bernilai RM2 bilion dalam Kertas Putih FELDA yang dibentangkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Parlimen, 10 April lalu.

Jumlah keseluruhan hutang peneroka ketika ini adalah kira-kira RM7 bilion.

Megat Zaharuddin juga memberi jaminan, peneroka yang memajak tanah mereka akan menerima pendapatan minimum setiap bulan dan tidak perlu fikirkan soal kerja kerana ladang akan diuruskan oleh FELDA.

“Tidak kira berapa harga sawit di pasaran, kita yakin pengurangan kos operasi pengeluaran menerusi model baharu itu nanti akan memberikan margin lebih baik untuk dikongsi dengan peneroka.

“Malah, cadangan penggabungan FELDA dengan Felda Technoplant Sdn Bhd (FTP) juga akan membantu mengurangkan kos pengurusan ladang, selain hasil baharu daripada tanaman alternatif dan penternakan,” katanya.

Mengulas lanjut, Megat Zaharuddin, berkata model baharu itu membolehkan FELDA menguruskan tanah milik peneroka secara pajakan dengan sasaran meningkatkan pengeluaran sawit kepada 24 tan sehektar dalam tempoh lima tahun, berbanding 18.5 tan sehektar ketika ini.

“Ini berbeza dengan Perjanjian Pajakan Tanah (LLA) selama 99 tahun yang dimeterai ketika penyenaraian FGV Holdings Bhd (FGV) membabitkan penyerahan tanah milik FELDA keada FGV bagi menjana nilai tambah dan pulangan pada kadar RM800 juta setahun,” katanya.

Berita Harian X