Sabtu, 20 April 2019 | 11:27am

Pembangunan fizikal perlu seimbang pemuliharaan alam semula jadi - PM

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Malaysia hanya akan berjaya menjadi negara maju apabila dapat memastikan pembangunan fizikal seimbang dengan pemuliharaan alam semula jadi.

Perdana Menteri berkata, kesedaran memulihara alam perlu dipupuk dan dijadikan tanggungjawab secara kolektif serta berterusan.

“Kita sudah melihat kesan akibat pembangunan tidak teratur dan hanya menekankan faktor keuntungan semata-mata.

“Kita perlu sedar bahawa usaha menjadi sebuah negara maju tidak akan tercapai dengan hanya bangunan pencakar langit tetapi sungai tercemar, hutan menjadi tanah tandus dan udara dicemari.

“Kita hanya akan berjaya (menjadi negara maju) apabila berupaya memastikan pembangunan negara beriringan dengan pemuliharaan alam semula jadi dan kehijauan kawasan persekitaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan sambutan Hari Bumi Sedunia di Taman Tugu, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; serta Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin.

Dr Mahathir berkata, mesej Hari Bumi amat jelas, iaitu perlu mengekalkan dan memulihara alam semula jadi di samping melaksanakan pembangunan negara.

“Hari Bumi sebagaimana kita tahu adalah acara tahunan yang disambut di seluruh dunia pada 22 April. Ia adalah hari untuk orang ramai meraikan planet Bumi dan menekankan betapa pentingnya kita semua memulihara alam semula jadi untuk generasi akan datang,” katanya.

Mengulas mengenai Taman Tugu pula, beliau berkata, taman rimba seluas 26.7 hektar itu wujud sebagai bukti komitmen negara memastikan pembangunan dilaksanakan seimbang dengan alam sekitar.

“Saya difahamkan ada kira-kira 4,000 pokok Hujan Asli Malaysia ditanam di sekitar Taman Tugu. Oleh itu, pemilihan Taman Tugu sebagai lokasi sambutan Hari Bumi amat bermakna,” katanya.

499 dibaca
PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali (tengah) ketika hadir merasmikan Projek Taman Tugu. - NSTP/Saifullizan Tamadi
Berita Harian X