Sabtu, 20 April 2019 | 1:57pm
PENGERUSI FELDA, Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor. - NSTP/Salhani Ibrahim

FELDA baharu fokus pelan, strategi pemulihan

S: Dalam Kertas Putih diumumkan pelan pemulihan FELDA yang dibahagikan
kepada tiga fasa iaitu jangka pendek, sederhana dan panjang. Boleh Tan Sri jelaskan lanjut pelan itu mengikut tempoh masanya?

J: Untuk pelan jangka pendek, adalah menambah baik tadbir urus dan ia sudah pun dilaksanakan sejak Ahli Lembaga Pengarah baharu dibawa masuk. Untuk meningkatkan taraf pengurusannya, kita membawa masuk Ketua Pengarah besar yang baharu dan lima lagi pengurusan tertinggi dari luar yang ada kemahiran dan pengalaman berlainan dengan apa yang ada dalam FELDA. Dengan pengalaman dan kepakaran mereka kita harap usaha pemulihan FELDA dapat dipercepatkan. Pelantikan baharu ini diyakini dapat membaiki tahap pengurusan supaya tiada lagi penyelewengan dan pembaziran. Mereka ini juga akan menumpukan kerja dan strategi serta pelan yang sudah kita buat untuk mempercepatkan usaha memulihkan FELDA. Juga diputuskan, tiada lagi pelantikan orang politik.

S: Bagaimana dengan pajakan tanah dengan FGV, apakah perbezaan dengan pajakan tanah peneroka ini?

J: Pajakan tanah FELDA kepada FGV adalah bagi tujuan penyenaraiannya dan memberi tambah nilai dan dipulangkan kepada FELDA. FELDA serahkan pengurusan ladang melalui perjanjian pajakan tanah (LLA) selama 99 tahun. FGV sepatutnya memulangkan hasil daripada tanah yang dipajak itu kepada FELDA pada kadar RM800 juta setahun, bukan RM400 juta seperti sekarang. Maka pajakan tanah peneroka ini bagi membolehkan FELDA menguruskan tanah peneroka, bukannya FGV. Ketika ini, FELDA menguruskan 66 peratus tanah peneroka, manakala 34 peratus lagi diuruskan sendiri peneroka. Jumlah keseluruhan tanah peneroka FELDA kira-kira 400,000 hektar.

Justeru, kita dapat meningkatkan pengeluaran hasil ke tahap tertinggi industri seperti dicapai syarikat perladangan lain. Kita tetapkan pengeluaran kelapa sawit dapat ditingkatkan daripada 18 tan sehektar kepada 24 tan sehektar setahun. Tahun lalu, pengeluaran adalah pada kadar 18.5 tan sehektar. Maka jika pengeluaran ladang dapat ditingkatkan melalui pajakan tanah, amalan ladang yang baik dan skala kos ekonomi, kami sasarkan maka semua ini akan dapat dicapai dalam tempoh lima tahun. Ini bergantung kepada harga komoditi yang tidak menentu.

Jika permintaan dunia bertambah, maka harganya meningkat dan jika permintaannya rendah sebab ‘perang perdagangan’ maka kuranglah harganya seperti sekarang ini. Tahun ini harga minyak sawit RM2,000 satu tan, tahun lalu purata RM2,280 dan tahun sebelum itu, RM2,700. Apa yang penting mengurangkan kos pengeluaran, supaya kita akan memberi kadar lebih baik kepada peneroka.

S: Bagaimana pula dengan pelan untuk menggabungkan Felda Technoplant Sdn Bhd (FTP) dengan Jabatan Perladangan dan Jabatan Hal Ehwal Tanam Semula FELDA?

J: Penggabungan dua entiti ini adalah bagi mengurangkan kos pengeluaran. Mengapa perlu dua entiti untuk buat dua kerja yang sama. Selepas kajian dibuat kami merasakan adalah tidak masuk akal jika ada dua entiti dengan fungsi yang sama, maka dicadangkan penggabungan untuk mengurangkan kos.

S: Bagaimana dengan tanaman yang akan diusahakan FELDA, kekal dengan sawit atau tanaman lain.

J: Kebanyakan ladang ditanam sawit dan getah. Kita sedang membuat kajian untuk menilai kesesuaian tanaman sawit atau getah. Jika tanah tidak sesuai untuk kedua-dua komoditi itu maka kita guna tanaman lain atau beralih kepada penternakan. Ini bagi membolehkan pendapatan minimum itu tetap diperoleh peneroka.

S: Kerajaan umum peruntukan RM6.23 bilion untuk membantu dan menyelamatkan FELDA, termasuk bantuan untuk penghapusan hutang, penstrukturan semula pinjaman dan jaminan kerajaan. Boleh terangkan bagaimana ia akan digunakan?

J: Berdasarkan kertas putih itu, sebanyak RM2 bilion diperuntukkan bagi menghapuskan kadar faedah hutang kebun dalam bentuk geran; sebanyak RM250 juta bagi Perumahan Generasi Baharu FELDA (PGBF) dan geran sebanyak RM1 bilion untuk pengeluaran hasil baharu. Kerajaan juga menyediakan RM480 juta bagi pembayaran kos sara hidup dan pendahuluan hasil. Selebihnya adalah bagi menstruktur semula hutang FELDA dengan institusi kewangan dan bank.

S: Bagaimana dengan hutang peneroka kepada FELDA, adakah masih perlu dibayarkan walaupun RM2 bilion diperuntukkan untuk hapuskan kadar faedah hutang kebun?

J: Keseluruhan hutang peneroka kepada FELDA adalah RM7 bilion, namun jumlah yang dimuktamadkan adalah RM5.5 bilion, manakala baki masih diperincikan.

Kita sedang mengkaji formula untuk menggalakkan peneroka bayar balik hutang dengan menjual hasil kepada kita supaya hutang boleh dilunaskan.

Ini akan mengambil sedikit masa, bergantung kepada kemampuan, latar belakang dan demografi peneroka. Peneroka tetap perlu membayar hutang mereka dan ia boleh diselesaikan mengikut kemampuan mereka.

S: Apakah langkah diambil untuk mengurangkan perbelanjaan operasi FELDA?

J: Pelbagai pelan dikemukakan, termasuk cadangan mengecilkan saiz FELDA kerana jumlah kakitangan terlalu ramai. Ketika ini, Kumpulan FELDA ada 5,500 kakitangan, dengan 3,800 di bawah agensi. Apabila kita sudah ada model baharu, barulah kita tahu macam mana aturkan kakitangan mengikut perniagaan, termasuk hartanah, pelaburan dan ladang.

Pada saya, untuk tingkat pengeluaran maka jumlah pekerja di peringkat perladangan perlu ditambah. Kini, jumlah kakitangan perladangan sikit sangat. Di FTP kita ada 1,550 pekerja, manakala Jabatan Perladangan dan Jabatan Hal Ehwal Tanam Semula FELDA hanya ada 100 kakitangan.

Pada saya ketika ini, untuk menguruskan sektor perladangan kita perlukan lebih ramai orang dengan pelbagai kepakaran dan kemahiran, selain penggunaan teknologi seperti dron. Cara kerja di sektor perladangan juga perlu berubah kerana kita mahukan hasil berkualiti dan lebih cekap. Ini semua sedang dilihat, apabila kajian selesai barulah diumumkan struktur organisasi baharu.

S: Adakah ini bermakna akan berlaku pembuangan pekerja?

J: Bukan itu yang kita fikirkan dan FELDA sebagai GLC (syarikat berkaitan kerajaan) sukar membuang pekerja. Kita mahu jumlah kakitangan lebih seimbang. Ketika ini kami perlu lebih ramai di wilayah menjaga ladang, bukan di ibu pejabat.

S: Mengapa perlu Jawatankuasa Pelaburan berlainan dalam FELDA dan FIC?

J: Jawatankuasa Pelaburan FELDA sudah diwujudkan kembali sejak 2017, untuk menjaga pelaburan dan penjualan aset FELDA. FIC juga ada jawatankuasa pelaburan mereka sendiri. Jawatankuasa Pelaburan FELDA dibubarkan selepas FIC ditubuhkan. Ini satu kesilapan.

FIC masih perlu kerana memiliki banyak aset di bawahnya. Apabila sudah dicairkan semua aset nanti, maka kita akan fikirkan balik apa yang perluk dilakukan. Penggabungan FIC dengan FELDA adalah sebahagian daripada penstrukturan semula yang sedang dirangka. Selepas itu, sama ada nak kekalkan nama FIC atau tidak, akan ditentukan kemudian.

Dalam kumpulan FELDA, jawatankuasa pelaburan perlu untuk memantau pelaburan dalam aset strategik seperti FGV, Eagle High Plantation (EHP), manakala yang tak strategik adalah seperti hotel di Kuching dan Terengganu kerana bukan perniagaan teras kami.

FELDA akan keluar daripada semua perniagaan bukan teras. Kita sepatutnya jadi ‘jaguh ladang’ dan fokus kepada perniagaan teras iaitu perladangan.

S: Boleh Tan Sri komen berhubung isu 100 kenderaan dibeli FELDA yang dibangkitkan di Parlimen, baru-baru ini?

J: Tahun lalu kita beli 24 pikap untuk menggantikan Perodua Kembara yang sudah lebih 10 tahun. Ia untuk kerja ladang. Tiada kereta di bangunan FELDA melainkan kereta petugas.

S: Pelbagai isu yang membelenggu FELDA sejak beberapa tahun lalu dikatakan melemahkan semangat peneroka. Bagaimana nak mengembalikan keyakinan mereka terhadap agensi ini?

J: Yang paling mustahak untuk peneroka adalah pengeluaran hasil ladang mereka. Kalau FELDA atau FTP atau pada masa depan gabungan FTP-FELDA boleh meningkatkan pengeluaran hasil, sudah tentu semangat mereka akan naik semula. Pertama, kita kena buat adalah R&D klon pokok getah atau sawit untuk dapat hasil lebih tinggi. R&D untuk menghasilkan benih terbaik dalam industri. Yang kedua memperkenalkan amalan pertanian terbaik.

Selepas tanaman semula hingga mula berbuah matang muda kita akan perhatikan mencapai sasaran bagi tahun pertama sehingga tahun kelapan. Selepas tahun kelapan hingga tahun ke-25, saya mahukan purata 24 tan sehektar. Itu sasaran standard industri terbaik.

Sekarang ini kita tanam 140 pokok sehektar, manakala pesaing boleh sampai 180 pokok sehektar. Selain itu, kita juga perlu pastikan pelbagai kemudahan untuk aktiviti sosial di kawasan rancangan, termasuk infrastruktur pendidikan dari taska hingga ke sekolah.

Kita mahu pastikan kanak-kanak di tanah rancangan FELDA mendapat pendidikan terbaik. Pada masa sama, kita juga mesti membimbing golongan muda untuk terus menetap di tanah rancangan dengan kegiatan sukan dan keusahawanan.

Berita Harian X