Sabtu, 20 April 2019 | 2:58pm
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (dua dari kiri) menyampaikan anugerah kepada salah seorang penerima cacat penglihatan. - Foto BERNAMA

Kuota pekerja OKU dalam sektor awam tidak terjejas - TPM

PETALING JAYA: Kerajaan menjamin cadangan pengecilan jumlah penjawat awam di negara ini tidak akan menjejaskan dasar kuota satu peratus jawatan diperuntukkan kepada orang kurang upaya (OKU) dalam sektor awam.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata malah pihaknya mahu lebih ramai OKU berkhidmat dalam sektor awam untuk memenuhi kuota itu yang belum diisi sepenuhnya.

“Tidak (terjejas)...kerana kita nakkan ramai lagi (bekerja)...sekarang pun belum penuhkan, jadi kita mahu tempat yang khusus buat OKU itu dipelihara buat mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Anugerah Pencapaian Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) Cemerlang untuk Individu Buta dan Masalah Penglihatan 2017/2018, di Hospital Mata Tun Hussein Onn, di sini, hari ini.

Berdasarkan statistik hingga Mac lalu, seramai 538,000 OKU berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan 47,000 daripada mereka adalah golongan buta dan mengalami masalah penglihatan.

Media sebelum ini melaporkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai berkata, saiz perkhidmatan awam di negara ini terlalu besar dan perlu dikurangkan selaras kedudukan kewangan Malaysia sekarang.

Perdana Menteri dipetik sebagai berkata, ketika ini, jumlah kakitangan awam ialah kira-kira 1.7 juta orang yang menunjukkan peningkatan hingga hampir 700,000 berbanding ketika beliau bersara sebagai Perdana Menteri pada 2003.

Bagaimanapun, Dr Mahathir seterusnya dilaporkan berkata, kerajaan boleh menswastakan beberapa jabatan dan kakitangan sedia ada akan diberi pilihan menyertai entiti diswastakan itu dalam proses pengecilan saiz perkhidmatan awam negara.

Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, pengecilan saiz perkhidmatan awam tidak bermaksud akan berlaku pengurangan peluang pekerjaan.

Dasar satu peratus pekerja OKU dalam sektor awam diperkenalkan pada 1988 dan pelaksanaannya adalah melalui Perkhidmatan Pekeliling pada 2008 serta 2010.

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, setakat ini kerajaan belum ada perancangan meningkatkan kuota pekerja OKU berkenaan kepada dua peratus, sebaliknya memfokus memenuhi peruntukan sedia ada melalui beberapa langkah dan pelan tindakan.

Selain itu, beliau mahu komitmen majikan dalam pengambilan pekerja OKU ditingkat dan diteruskan kerana mereka perlu menyedari kepentingan tanggungjawab sosial korporat (CSR) berkenaan.

Terdahulu, Dr Wan Azizah dalam ucapan berkata, bagi meningkatkan kebolehpasaran OKU, kementeriannya sedang menjalankan dua kajian terutama membabitkan peluang pekerjaan dan sistem sokongan bagi kerjaya serta penjagaan golongan itu.

“Dua kajian itu akan dilaksanakan Institut Sosial Malaysia. Proses pelaksanaan kajian sudah bermula dan kini dalam proses mengenal pasti pasukan pengkaji bersesuaian untuk projek itu,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan laporan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) setakat ini, seramai 3,800 OKU atau mewakili 0.31 peratus dilantik dalam pelbagai jawatan perkhidmatan awam hingga akhir tahun lalu.

“Kementerian saya berjaya melepasi satu peratus sasaran membabitkan 144 jawatan (1.77 peratus) diisi OKU daripada keseluruhan 8,138 jawatan.

“Kementerian Pertahanan berada di tempat kedua dengan 0.98 peratus jawatan diisi OKU, manakala Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu di tempat ketiga dengan 0.97 peratus,” katanya.

Beliau berkata, hampir 56 peratus daripada golongan OKU berdaftar di negara ini adalah dalam kalangan usia produktif dan menjadi satu kerugian sekiranya mereka dinafikan peluang pekerjaan.

Justeru bagi menggalakkan majikan korporat dan swasta mengambil pekerja OKU, katanya, kerajaan menawarkan insentif cukai, selain potongan dua kali ganda melalui bayaran saraan dan perbelanjaan bagi latihan serta pelepasan cukai bagi perbelanjaan dibuat majikan untuk memudahkan golongan itu.

540 dibaca
Berita Harian X