Sabtu, 20 April 2019 | 6:46pm

Jawatankuasa khas kaji sistem, prosedur kerja JPJ

PUTRAJAYA: Jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi mengkaji semula sistem dan prosedur kerja sedia ada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam mengenal pasti ruang dan peluang berlakunya penyelewengan serta salah guna kuasa.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid, berkata jawatankuasa khas diberi tempoh dua minggu untuk mengesyorkan penambahbaikan sistem dan prosedur kerja JPJ bagi semua bahagian dalam jabatan itu.

Beliau berkata, jawatankuasa itu tidak hanya bertumpu kepada kes penahanan penguat kuasa JPJ Pulau Pinang oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini tetapi juga ke arah penambahbaikan menyeluruh.

“Jawatankuasa ini di peringkat dalaman JPJ yang diketuai Pengarah Bahagian Integriti JPJ.

“Ia akan membuat ‘analisis jarak’ terutama prosedur kerja yang sudah terlalu lama dan tidak sesuai dengan situasi semasa.

“Mereka akan bentang syor kepada saya supaya tiada ruang dan peluang untuk perkara tidak diingini termasuk rasuah dan salah guna kuasa berlaku lagi.

“Hasil laporan akan kita kongsi bersama SPRM,” katanya pada sidang media selepas menyertai Ops Khas Lebih Muatan di sini, hari ini.

Seramai 22 lagi penguat kuasa JPJ Pulau Pinang ditahan semalam, hari ini selepas diambil keterangan di pejabat SPRM negeri dan dijangka direman di Mahkamah Majistret Georgetown jam 10.30 pagi esok.

Semalam, 23 daripada 24 penguat kuasa JPJ negeri yang direman SPRM Rabu lalu, dibebaskan dengan jaminan manakala seorang lagi masih ditahan berikutan siasatan ke atasnya belum selesai.

Rabu lalu, Mahkamah Majistret di sini, membenarkan permohonan reman tujuh hari terhadap 30 individu termasuk 24 penguat kuasa JPJ Pulau Pinang, susulan tangkapan dalam operasi khas SPRM di seluruh negeri itu, sehari sebelumnya.

Mengulas penahanan 22 lagi anggota JPJ itu, Shaharuddin menyifatkannya di luar jangkaan.

Bagaimanapun, beliau berkata, operasi dan penguatkuasaan di cawangan berkenaan masih seperti biasa.

Mengulas operasi khas hari ini, beliau berkata, sebanyak 20 lori ditahan kerana membawa lebih muatan dan 30 lagi ditahan atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Ia termasuk meletak kenderaan di lorong kecemasan, tidak memiliki Lesen Kenderaan Perdagangan (GDL) dan kesalahan teknikal.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Shaharuddin Khalid ketika sidang media mengenai "Ops Tutup" di Kementerian Pengangkutan. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
Berita Harian X