Sabtu, 20 April 2019 | 7:00pm
Justeru, Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH), Khalid Abdul Samad. - Foto Hafiz Sohaimi
Justeru, Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH), Khalid Abdul Samad. - Foto Hafiz Sohaimi

Tiada perbincangan tukar MB Perak

KUALA LUMPUR: Tiada sebarang perbincangan di peringkat Kabinet atau Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) bagi menggantikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Justeru, Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH), Khalid Abdul Samad, meminta semua rakyat terutama ahli parti itu supaya tidak mempercayai berita palsu yang disebarkan di media sosial berkaitan isu terbabit.

Katanya, setakat ini parti dan kerajaan tiada masalah dengan kepimpinan Ahmad Faizal.

“Setakat mana yang saya tahu, tiada apa pun masalah. Nasihat saya (kepada ahli) jangan mendengar berita yang tersebar dalam media sosial, sebaliknya merujuk kepada pimpinan parti untuk mendapat maklumat tepat.

“Kita tahu pihak saingan kita, pihak lawan rajin sebar pelbagai maklumat yang tidak tepat dengan tujuan menimbulkan keresahan dan perasaan cemas dalam kalangan ahli. Jadi jangan dengar khabar angin, periksa dengan pemimpin setempat.

“Dalam Kabinet tak pernah bincang (ganti Menteri Besar Perak), dalam Majlis Presiden pun tidak pernah bincang,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Sepetang Bersama Pimpinan Parti Amanah Negara anjuran AMANAH Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ahmad Faizal yang mengakui wujud usaha untuk menjatuhkannya sebagai Menteri Besar Perak sejak hari pertama beliau dilantik ke jawatan itu.

Kenyataan itu susulan dakwaan wujud lagi usaha untuk menjatuhkannya sebagai Menteri Besar selepas tersebar video audio yang dikatakan mirip suara seorang EXCO kerajaan negeri mengkritik dan mempertikai kepimpinan dan pentadbiran beliau.

Khalid berkata, setakat ini beliau tidak yakin akan ada pertukaran Menteri Besar Perak.

“Saya tidak nampak ia satu perkara (pertukaran Menteri Besar Perak) yang mungkin berlaku walaupun ada keadaan di mana kita tidak mempunyai majoriti yang mantap dan ramai tetapi setakat ini mencukupi untuk kita,” katanya.

Berita Harian X