Sabtu, 20 April 2019 | 11:08pm
GAMBAR fail, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man. - Foto Farah Suhaidah Othman

Ipoh akan dapat Datuk Bandar baharu

IPOH: Kerajaan Perak akan melantik Datuk Bandar Ipoh yang baharu bagi menggantikan Datuk Zamri Man yang dikatakan sakit dan sudah tidak bertugas sejak beberapa bulan lalu.

Difahamkan, antara nama yang disebut-sebut bakal menyandang jawatan itu ialah Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Datuk Abdul Rahim Md Ariff.

Sumber berkata, Abdul Rahim adalah antara calon yang layak untuk jawatan itu kerana pernah menjadi Setiausaha Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sebelum ini selain perkhidmatan cemerlang ketika menerajui MPT.

“Zamri dikatakan menghidap penyakit misteri sehingga tidak dapat bertugas selama beberapa bulan dengan tugasan Datuk Bandar ketika ini dilaksanakan oleh Setiausaha MBI, Zakuan Zakaria,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru negeri, Paul Yong Choo Kiong mengesahkan pelantikan Datuk Bandar Ipoh yang baharu akan dibuat dalam masa terdekat.

“Proses pelantikan Datuk Bandar Ipoh baharu akan dilakukan kerana kerajaan negeri sudah mempunyai calon dan akan diumumkan secepat mungkin,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Hartanah Malaysia (MAPEX) 2019 di Ipoh Parade, hari ini.

Beliau dilaporkan berkata, pihaknya dimaklumkan Zamri mengalami masalah kesihatan tetapi hanya menyerahkan surat cuti sakit untuk tempoh dua bulan sahaja dan tidak memberikan maklumat mengenai keadaan dirinya beberapa bulan selepas itu.

1193 dibaca
Berita Harian X