Sabtu, 20 April 2019 | 11:59pm
Presiden ILAM, Prof Madya Dr Suhardi Maulan (kanan) menyampaikan Anugerah Landskap Arkitek Malaysia ke 11 (MLAA11) bagi Kategori Khas Media kepada Pengarang Kumpulan Harian Metro, Tuan Mohd Asri Tuan Hussein (dua kanan) bagi menerusi laporan bertajuk Reka Bentuk 'Biophilic' Trend Terkini tulisan Penolong Pengarang Rencana Harian Metro, Hartini Mohd Nawi (dua kiri) sempena Malam Gala Institut Landskap Arkitek Malaysia (ILAM) 2019 di New World Hotel, Petaling Jaya. Turut hadir Setiausaha ILAM, Charles Teo Kae Siang (kiri). - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

BH, HM terima anugerah landskap ILAM

PETALING JAYA: Berita Harian (BH) dipilih menerima Anugerah Landskap Arkitek Malaysia ke-11 (MLAA11) bagi Kategori Khas Media pada Malam Gala Institut Landskap Arkitek Malaysia (ILAM) 2019 di sini, malam ini.

Anugerah terbabit diberi menerusi laporan bertajuk, Senibina Landskap Sedia Ruang Berinovasi tulisan Halina Mohd Noor yang diterbitkan pada 23 April 2018.

Selain itu, Harian Metro (HM) turut menerima anugerah sama menerusi laporan bertajuk Reka Bentuk ‘Biophilic’ Trend Terkini tulisan Penolong Pengarang Rencana HM, Hartini Mohd Nawi yang diterbitkan pada 14 April 2018.

Dua anugerah terbabit diterima Pengarang Kumpulan HM, Tuan Mohd Asri Tuan Hussein.

Ia disampaikan Presiden ILAM, Prof Madya Dr Suhardi Maulan.

Yang turut hadir, Menteri Wilayah Persekutuan yang juga Ahli Kehormat ILAM, Khalid Abdul Samad.

Selain media, majlis itu juga mengiktiraf penggiat landskap terbaik di Malaysia serta antarabangsa.

Tahun ini, ILAM menerima penyertaan sebanyak 141 dari Malaysia dan antarabangsa termasuk Singapura, Filipina, China serta Vietnam.


Pengarang Kumpulan Harian Metro, Tuan Mohd Asri Tuan Hussein dan Penolong Pengarang Rencana Harian Metro, Hartini Mohd Nawi menunjukkan Anugerah Landskap Arkitek Malaysia ke 11 (MLAA11) bagi Kategori Khas Media sempena Malam Gala Institut Landskap Arkitek Malaysia (ILAM) 2019 di New World Hotel, Petaling Jaya. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

Antara kategori anugerah 2018 adalah projek terbaik, presiden, pencapaian sepanjang hayat, profesional, kontraktor landskap, penyelidik kerajaan, kategori pelajar, penyertaan antarabangsa bagi kategori profesional dan pembekal landskap atau kategori pengeluar.

Majlis yang diadakan serentak dengan malam gala ILAM itu sebahagian program sempena bulan Seni Bina Landskap Sedunia yang dirai setiap April.

Sepanjang April, pelbagai program dianjurkan seperti seminar, persidangan malah kempen kesedaran awam turut dijalankan yang bertujuan memperkenalkan kerjaya dan bidang arkitek landskap.

Terdahulu, Khalid dalam ucapan perasmiannya berkata, pihaknya terus komited untuk memastikan seni bina landskap yang dihasilkan dapat memberi manfaat kepada masyarakat.

“Komitmen berterusan ini akan menjamin kehijauan alam sekitar seperti inisiatif ‘River of Life’ yang mengubah imej Sungai Gombak dan Sungai Klang.

“Insiatif ini juga mampu merealisasikan hasrat untuk Malaysia menjadi negara taman terindah pada 2020 dan menjadi penanda aras kepada negara lain,” katanya.

178 dibaca
Berita Harian X