Ahad, 21 April 2019 | 4:52pm
Bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin. - Foto BERNAMA

Perlu selangkah di depan tangani turun naik pasaran minyak sawit - Daim

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu selangkah di depan dalam merancang cara untuk bertindak balas terhadap turun naik harga pasaran minyak sawit bagi melindungi sumber pendapatan negara itu, serta kebajikan pekebun kecil, kata bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin.

Katanya, oleh kerana Malaysia sebuah negara kecil dan 80 peratus daripada minyak sawit mentah (MSM) dan produk berasaskan minyak sawitnya dieksport, adalah penting untuk negara bekerjasama dengan Indonesia, pengeluar terbesar komoditi itu di dunia, terutama dalam menangani cabaran daripada Kesatuan Eropah (EU) dan pertikaian perdagangan Amerika Syarikat (AS) - China.

“Kita perlu bekerjasama dengan Indonesia kerana Malaysia sendiri ialah sebuah negara kecil (dengan 31 juta penduduk setakat 2017) dan bersama-sama dengan Indonesia yang mempunyai 264 juta penduduk, kita boleh perjuangkan perkara ini bersama-sama,” katanya.

Mengambil perhatian bahawa harga MSM bergantung pada kuasa pasaran, beliau berkata: “Ini adalah biasa malah semasa zaman saya. Jadi ini bukan sesuatu yang baharu, tetapi sekarang, dengan ancaman datang daripada EU dan pertikaian perdagangan AS-China, kita perlu bijak,”.

Daim berkata meskipun adalah berita baik bahawa AS dan China bakal memuktamadkan perbincangan perdagangan mereka, kerajaan Malaysia, agensinya dan pemain industri juga perlu mengambil perhatian mengenai apa yang berlaku dalam perjanjian itu.

Pada Mac tahun lalu, Presiden AS Donald Trump mengenakan tarif sehingga 25 peratus ke atas barangan eksport China dan kerajaan China bertindak balas dengan turut mengenakan tarif 25 peratus ke atas barangan AS bernilai AS$110 bilion, termasuk kacang soya, yang merupakan tanaman eksport pertanian paling penting AS.


Kerajaan India menaikkan duti import minyak sawit mentah. - Foto hiasan

Ini telah membuka lebih banyak peluang kepada minyak boleh dimakan yang lain termasuk minyak sawit.

“Tetapi jangan bertindak balas apabila sudah terlewat kerana ia mungkin menjejaskan pasaran kita dan pekebun kecil,” katanya,

China ialah pembeli ketiga terbesar MSM Malaysia selepas India dan EU.

Namun susulan pemeteraian perjanjian baharu bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) pada Isnin lalu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Putrajaya akan memanfaatkan perjanjian itu dan akan mengusahakan pembelian minyak sawit oleh China.

Sementara itu, Daim, yang juga bekas menteri kewangan, menggesa belia untuk menerokai pertanian moden menggunakan teknologi terkini.

“Terdapat tanaman yang kita boleh tanam menggunakan sains dan teknologi dan mereka boleh sama ada tanam sayur-sayuran, buah-buahan atau mereka boleh ceburi industri perikanan. Mereka boleh pertimbangkan ini sebagai kerja sepenuh masa atau separuh masa.

“Saya pergi ke Sabah baru-baru ini dan saya telah melawat ladang seorang usahawan. Beliau mempunyai kira-kira 5,000 ekor lembu, kolam ikan serta ladang nanas dan durian. Saya tanya beliau berapa pendapatan dijana beliau. Beliau tidak menjawab tetapi saya andaikan beliau mesti memperoleh pendapatan kira-kira RM500 juta setahun.

“Saya percaya kita juga boleh lakukannya di sini tetapi apa yang paling penting ialah kita perlu memastikan kita mengeluarkan produk berkualiti tinggi.

“Kita juga perlukan komitmen sepenuhnya daripada kerajaan mengenai perladangan moden,” katanya. - BERNAMA

380 dibaca
Berita Harian X