Ahad, 21 April 2019 | 5:17pm
PRESIDEN dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas General Berhad, Eddy Azly Abidin. - Foto Amran Hamid
PRESIDEN dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas General Berhad, Eddy Azly Abidin. - Foto Amran Hamid

Takaful Ikhlas lancar program IWE

SUNGAI PETANI: Pemegang polisi perlindungan Takaful Ikhlas berpeluang membantu masyarakat menerusi program ‘IKHLAS Waqf dan Endowment’ (IWE) yang dilancarkan sempena Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2019 di sini, hari ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas General Berhad, Eddy Azly Abidin, berkata IWE diberikan secara percuma kepada pelanggan yang menyertai pelan perlindungan individu takaful am Takaful Ikhlas.

“Bermula 1 April tahun ini, pihak syarikat memperuntukkan RM1,000 di atas nama peserta untuk sumbangan wakaf kepada institusi yang diiktiraf dan dipilih bagi setiap sijil takaful am individu.

“Ia sebagai platform untuk peserta membantu masyarakat melalui peruntukan wakaf apabila peserta meninggal dunia akibat kemalangan,” katanya pada sidang media di pekarangan Amanjaya Mall, di sini, hari ini.

Pelancaran IWE disempurnakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Eddy Azly berkata, IWE adalah suatu nilai tambah yang unik yang akan terus meningkatkan posisi jenama Takaful Ikhlas supaya dapat berdaya saing dan memberi lebih daripada perlindungan takaful.

“Antara produk individu takaful am yang menawarkan IWE adalah IKHLAS Takaful kenderaan, IKHLAS Takaful Kediaman atau IKHLAS Takaful Kemalangan Peribadi.

“Pemegang polisi boleh menambah jumlah wakaf dengan menyertai pelan perlindungan Kemalangan Peribadi yang memperuntukkan sehingga 30 peratus daripada manfaat kematian kepada institusi wakaf terpilih,” katanya.

Sementara itu, menyentuh mengenai aktiviti Takaful Ikhlas sepanjang MSAM 2019, beliau berkata pelbagai aktiviti dan hadiah menarik ditawarkan kepada pengunjung di ruang pameran Takaful Ikhlas.

“Pengunjung yang menyertai pelan perlindungan takaful keluarga pada MSAM 2019 layak menyertai Cabutan Rezeki Ikhlas dan berpeluang memenangi hadiah utama iaitu produk unit Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) bernilai RM5,500, RM4,500 atau RM3,500.

“Pengunjung yang menyertai pelan perlindungan takaful am Takaful Ikhlas pula berpeluang memenangi hadiah utama iaitu perlindungan kemalangan peribadi Takaful Ikhlas dengan jumlah perlindungan sebanyak RM500,000, RM300,000 atau RM200,000,” katanya.

Katanya, pelanggan juga berpeluang menyertai Cabutan Rezeki yang menyediakan pelbagai hadiah harian seperti barangan elektrik, jam kesihatan ‘Fitbit’ atau produk unit ASNB bernilai RM100.

Berita Harian X