Selasa, 23 April 2019 | 1:45pm
YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Agong, Permaisuri lawat Kuching

KUCHING: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, berkenan melakukan lawatan kerja dua hari ke Kuching pada 25 dan 26 April ini.

Menurut kenyataan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Jabatan Ketua Menteri, pasangan diraja itu akan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, pagi Khamis.

Keberangkatan baginda berdua akan disambut Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Raghad Kurdi Taib; Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan isteri, Datin Patinggi Jumaa’ni Tun Tuanku Bujang; barisan menteri Kabinet negeri; ketua jabatan kerajaan dan pemimpin masyarakat.

Pada sebelah petang, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berangkat melawat tempat pelancongan yang berdekatan iaitu di Lebuh India dan Tebingan Kuching.

Pada sebelah malam, baginda dan Raja Permaisuri Agong akan berangkat menghadiri majlis santapan diraja bersama Abdul Taib dan isteri di sebuah hotel terkemuka di sini dan turut disertai Ketua Menteri, anggota Kabinet negeri dan tetamu kenamaan.

Menurut kenyataan itu, selepas selesai majlis santapan, pasangan diraja itu akan menyaksikan air pancut berirama di Tebingan Kuching.

Keesokan paginya, Al-Sultan Abdullah diiringi Abdul Taib, dijadual menghadiri sesi taklimat oleh Majlis Islam Sarawak di sini dan mengurniakan surat pelantikan kepada anggota majlis.

Selepas sesi taklimat, baginda akan berangkat ke Masjid Darul Hana menunaikan solat Jumaat bersama-sama masyarakat Islam tempatan di sini.

Sementara itu, Permaisuri Agong mempunyai jadual berasingan di bangunan Mahkamah Lama Kuching yang diiringi isteri ketua menteri melawat Muzium Ranee Brooke dan pameran kraftangan serta menyaksikan demonstrasi masakan tradisional Sarawak.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah dijangka berangkat pulang ke Kuala Lumpur pada sebelah petang. – BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X