Selasa, 23 April 2019 | 4:17pm
Ahmad Sufiuddin dan isteri, Nurul Erwani bersama anak mereka, Ainul Mardhiah yang menghidap ketumbuhan dalam mulut sejak lahir. - NSTP/Muhammad Zuhairi Zuber

Bapa terbuka rawat Ainul Mardhiah ke luar negara

MELAKA: Doktor pakar perubatan antarabangsa sudah meneliti rekod perubatan sebelum tindakan lanjut mengenai pelan rawatan dibuat dalam usaha merawat Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, yang menghidap ketumbuhan Germ Cell Tumor di bahagian mulutnya.

Bapa bayi perempuan berusia lapan bulan, Ahmad Safiuddin Razak, 24, berkata sebagai seorang bapa dia berserah kepada pakar perubatan untuk menentukan kaedah rawatan terbaik buat anak kesayangannya sebagai usaha dan ikhtiar terbaik.

“Saya sekeluarga sangat terbuka dan sedia bekerjasama untuk menerima bantuan daripada mana-mana pihak untuk merawat Ainul Mardhiah, termasuk kemungkinan membawanya ke luar negara.

“Setakat ini, saya sedang menunggu maklum balas daripada doktor pakar luar negara untuk tujuan sama,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Mengulas perkembangan doktor pakar pelatih surgikal kelahiran Malaysia, Dr Nur Amalina Che Bakri yang kini berpangkalan di sebuah hospital terkemuka di United Kingdom (UK) berhasrat untuk membantu Ainul Mardhiah, Ahmad Safiuddin berkata, dia yakin ada perkembangan positif diterima daripada doktor muda berkenaan.

“Berdasarkan maklum balas menerusi WhatsApp dengannya (Dr Nur Amalina) sebelum ini, dia berkata UK ada menyambut cuti umum dua hari. Saya percaya, hari ini cuti umum itu sudah berakhir.

“Saya berharap ada sinar dan perkembangan positif untuk Ainul Mardhiah,” katanya.

Sebelum ini, rakaman video Ainul Mardhiah yang mengalami ketumbuhan seberat 1.2 kilogram pada bahagian mulut, tular dalam laman sosial.

Ainul Mardhiah yang berasal dari Ayer Molek, di sini, dilahirkan ketika kandungan ibunya, Nurul Erwani Zaidi, 24, mencecah tujuh bulan, dengan keadaan sudah diserang kanser berkenaan.

Ditanya mengenai rawatan terbaharu Ainul Mardhiah, Ahmad Safiuddin berkata, bayi perempuannya akan dibawa ke Hospital Melaka, Khamis ini, bagi mendapatkan rawatan harian selepas menjalani dua rawatan kemoterapi, sebelum ini.

“Pada awal selepas menjalani rawatan kemoterapi, memang Ainul Mardhiah nampak lemah. Tetapi, alhamdulillah sekarang sudah nampak perkembangan positif.

“Ainul Mardiah juga tiada masalah diberikan susu khas menggunakan saluran tiup dan terus menunjukkan perkembangan yang baik,” katanya.

Berita Harian X