Selasa, 23 April 2019 | 8:34pm

Peniaga diingat tidak naikkan harga tong air

SHAH ALAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengingatkan peniaga supaya tidak mengeksploitasi harga tong air dengan mengaut keuntungan berlebihan, ketika berlaku gangguan bekalan air membabitkan beberapa kawasan di Kuala Lumpur dan Selangor.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pihaknya tidak akan berkompromi berhubung perkara itu, walaupun tong air tersebut tidak tertakluk dalam senarai barangan harga terkawal.

“Kita akan ambil tindakan undang-undang ke atas peniaga yang menaikkan harga tong air secara melampau walaupun tong air tidak termasuk dalam barang kawalan.

“Dan sekiranya kita mengesan ada peniaga yang menaikkan harga barang ini, penguat kuasa kita akan turun dan melakukan pemeriksaan ke atas premis perniagaan mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Bizfair peringkat Selangor dan Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi SSM yang juga merangkap Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Muez Abd Aziz.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution turut menyeru orang ramai supaya tampil memberikan maklumat kepada kementerian itu sekiranya terdapat peniaga yang didapati menaikkan harga tong air tersebut.

“Bermula semalam, penguat kuasa KPDNHEP Selangor telah memeriksa 73 premis menjual tong air di sekitar negeri ini, dan setakat ini tidak berlaku kenaikan harga. Pasukan penguat kuasa Selangor akan meneruskan operasi pemantauan harga tong air sehingga gangguan bekalan air selesai,” katanya.

Bermula esok sehingga 27 April, berlaku gangguan bekalan air disebabkan kerja-kerja penambahbaikan sistem bekalan air di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 (LRA SSP2), melibatkan enam wilayah iaitu Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata, pihaknya bersedia menambah peruntukan untuk diagihkan kepada usahawan di bawah program SSM Bizgrant.

“Sejak program ini diperkenalkan pada 2018, SSM telah menyediakan RM10 juta dalam bentuk geran untuk diagihkan kepada 3,000 usahawan terpilih seluruh negara, bagi membantu mengembangkan perniagaan mereka.

“Saya mahu SSM menjejaki usahawan yang telah diberi bantuan ini untuk melihat perkembangan perniagaan mereka, dan sekiranya usahawan ini berjaya kita bersedia menambah peruntukan itu untuk membantu usahawan lain,” katanya. - BERNAMA

Orang ramai membeli tong air di Seksyen 19, Shah Alam berikutan gangguan bekalan air yang akan berlaku bermula 24 hingga 27 April 2019 di kawasan Lembah Klang. - NSTP/Sairien Nafis
Berita Harian X