Rabu, 24 April 2019 | 9:22am
MENTERI Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob hadir pada Majlis Perasmian Konvensyen al-Quran Peringkat Antarabangsa di Kelantan Trade Centre (KTC), Kota Bharu, malam tadi. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Kelantan harap wakil Kerajaan Pusat dan Petronas hadir mahkamah 17 Mei

KOTA BHARU: Kerajaan negeri Kelantan berharap wakil Kerajaan Pusat dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) hadir ke mahkamah 17 Mei nanti, bagi membolehkan penarikan saman royalti dilaksanakan.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, berkata penarikan saman yang sepatutnya dilakukan di mahkamah Rabu lalu terpaksa ditunda kepada 17 Mei, berikutan tiada wakil Kerajaan Pusat dan Petronas hadir.

“Disebabkan mereka tidak hadir, Hakim terpaksa menunda dan menetapkan tarikh baharu kepada 17 Mei. Penarikan saman perlu dilakukan di dalam mahkamah dengan kehadiran wakil Kerajaan Pusat dan Petronas.

“Justeru pada 17 Mei bersempena bulan Ramadan yang mulia, kita berharap pihak yang berkenaan hadir supaya segala urusan dapat diselesaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Konvensyen al-Quran Peringkat Antarabangsa di Kelantan Trade Centre (KTC), di sini, malam tadi.

Akhbar sebelum ini melaporkan, Kerajaan Persekutuan akan membayar royalti petroleum kepada Kelantan, selepas proses penarikan saman oleh kerajaan negeri selesai April.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, royalti minyak itu akan dibayar terus kepada kerajaan negeri.

Katanya, selagi proses perundangan di mahkamah tidak selesai, Kerajaan Persekutuan tidak boleh membayar royalti minyak itu.

Terdahulu, mengenai Konvensyen al-Quran itu, Ahmad berkata, program yang berlangsung bermula Ahad lalu sehingga esok mendapat 235 orang penyertaan membabitkan tujuh negara.

Katanya, antara negara yang hadir adalah Mesir, Thailand, Indonesia, Singapura, Kemboja, Myanmar dan Brunei.

“Konvensyen ini adalah tahun kedua dilaksanakan dan kita berharap ia dapat dijadikan program tahunan dengan penyertaan yang lebih ramai dari pelbagai negara,” katanya.

Berita Harian X