Rabu, 24 April 2019 | 4:19pm
TUN Dr Mahathir Mohamad

PM bakal saksi pemeteraian 2 MoU penting di China

BEIJING: Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka menyaksikan pemeteraian dua perjanjian penting antara Malaysia dengan China dalam lawatan kerjanya di republik itu.

Perdana Menteri yang tiba di ibu negara republik itu, hari ini, bakal menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dalam memperkasakan kerjasama perdagangan minyak sawit, pembangunan taman perindustrian, infrastruktur, hab logistik dan hala tuju pembangunan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bersama rakan sejawatnya, Li Keqiang.

Lawatan kerja Dr Mahathir selama lima hari itu adalah bagi menghadiri Belt and Road Forum for International Cooperation (BRF) atas jemputan Presiden China, Xi Jinping.

Menurut Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Malaysia di China, Nuryante Mohd Yazid, MoU pertama yang akan dimeterai membabitkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) serta Dewan Perniagaan China bagi Import Eksport Makanan, Produk Asli dan Produk Sampingan Haiwan (CFNA).

MoU kedua pula akan dimeterai antara China Communications Construction Company (CCCC) dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Usaha mempromosikan industri minyak sawit menjadi agenda utama Malaysia di republik terbabit.

Perjanjian antara Malaysia dengan China antara lain untuk mengimbangi perdagangan bagi meningkatkan penjualan minyak sawit negara kepada China.

Bulan lalu, China menyuntik AS$890 juta (RM3.69 bilion) terhadap ekonomi negara dengan membeli 1.6 juta tan minyak sawit.

Langkah perdagangan itu bukan sahaja meningkatkan jumlah pembelian minyak sawit berikutan permintaan tinggi daripada 1.4 bilion penduduk republik berkenaan, malah membantu meningkatkan hasil tanaman Malaysia.

Nuryante berkata, Perdana Menteri juga dijangka bertemu Jinping dan Pengerusi Kongres Rakyat Nasional, Li Zhanshu, bagi membincangkan pelbagai isu bilateral serta antarabangsa.

Katanya, inisiatif China menganjurkan perbincangan bilateral antara Dr Mahathir dengan Presiden serta Perdana Menteri republik itu dan Pengerusi Kongres Rakyat Nasional adalah penghargaan tertinggi kepada negara.

Selain acara rasmi, Dr Mahathir dijangka melawat beberapa syarikat berteknologi tinggi seperti Huawei Technologies dan syarikat kecerdasan buatan (AI), SenseTime Private Ltd.

Beliau juga dijangka berjumpa pelabur utama, penganalisis pasaran modal antarabangsa dan komuniti perniagaan di Beijing.

Nuryante berkata, Perdana Menteri akan turut menghadiri program khas Proton Holdings bagi menyaksikan pertukaran dokumen antara Malaysia dengan pengusaha automotif China.

1319 dibaca
Berita Harian X